Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shaykh Bin Bayyah: Agama-agama dunia perlu bentuk 'Perikatan Kebaikan' merangkumi nilai-nilai mulia

Agama-agama di dunia perlu bersatu serta bekerjasama dengan membentuk satu nilai-nilai bersama atau 'Perikatan Kebaikan'.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Mar 2017 07:54PM Dikemas Kini : 19 Mar 2017 10:17AM

SINGAPURA: Agama-agama di dunia perlu bersatu serta bekerjasama dengan membentuk satu nilai-nilai bersama atau 'Perikatan Kebaikan'.

Perikatan Kebaikan itu akan membolehkan masyarakat berbeza agama hidup bersama secara aman. Ini kerana dunia tidak akan mengecapi keamanan, selagi tiada keamanan di kalangan agama-agama di dunia.

Demikian ditekankan sarjana dan ulama Islam terkemuka, Shaykh Abdallah Bin Bayyah, semasa menyampaikan Ceramah MUIS malam semalam (17 Mac).

Shaykh Bin Bayyah, Pelawat Unggul MUIS tahun ini, berhujah bahawa masalah di dunia ini pada hakikatnya bukan disebabkan agama, tetapi angkara manusia - iaitu masalah kefahaman dan penterjemahan atau naratif melampau tentang satu-satu agama yang dibawa penganutnya.

AGAMA-AGAMA PERLU BERSATU, BENTUK KEAMANAN

Shaykh Bin Bayyah percaya bahawa ubatnya ialah agama-agama berbeza perlu bersatu untuk membentuk keamanan menerusi 'Perikatan Kebaikan'.

Beliau yang merupakan Presiden Forum bagi Menggalak Keamanan dalam Masyarakat Islam, menjelaskan, ini bermakna nilai-nilai baik dari semua agama seperti kasih sayang, membantu yang lemah dan yang sakit, kejujuran dan keadilan perlu diperjuangkan secara bersama.

Demikian antara inti ceramah beliau yang bertajuk 'Kepercayaan, Belas Kasihan dan Maruah Manusia'.

Shaykh Bin Bayyah menambah bahawa sebenarnya tiada masyarakat minoriti atau majoriti di dunia ini. Semuanya adalah manusia, dan itulah persamaannya.

Oleh itu orang ramai perlu menerima kepelbagaian sedia ada yang menimbulkan peluang mempelajari daripada satu sama lain serta mengakui kewujudan satu sama lain.

Shaykh Abdallah Bayyah bertemu dengan para pemimpin perkhidmatan awam dan silang agama sebelum ceramahnya. (Gambar: MUIS) 

Shaykh Abdallah Bin Bayyah bertemu dengan para pemimpin perkhidmatan awam dan silang agama sebelum ceramahnya. (Gambar: MUIS) 

DR YAACOB: SETIAP AGAMA MEMBAWA KEBAIKAN DI DUNIA

Mengulas antara inti ceramah Shaykh Bin Bayyah itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim berkata antara iktibarnya ialah setiap agama sebenarnya membawa kebaikan di dunia dan ada nilai-nilai yang dikongsi sama.

Beliau juga mengulas tentang gagasan kumpulan Daulah Islamiyah atau ISIS yang dijelaskan Shaykh Bin Bayyah.

Dr Yaacob, yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan, berkata: "... tentang Daulah Islamiyah yang di mana konsep yang berkaitan dengan sedemikian adalah terikat pada masa dan konteksnya - dan, mungkin pada satu masa 'caliphate' itu salah satu konsep daulah yang penting pada masa itu, tetapi buat masa sekarang yang lebih penting adalah bagaimana negara itu boleh terus memperkuatkan lagi dan menjaga kemaslahatan masyarakat.

"Jadi, pandangan beliau itu saya rasa tepat pada masanya untuk kita menentukan bahawa setiap pemerintah yang ada tidak kira sekular ataupun bukan sekular, yang penting apakah ciri-cirinya dan apakah nilai atas dasar untuk menjaga kemaslahatan masyarakat."

Sekitar 650 orang - termasuk para pemimpin silang agama, pegawai awam dan pelajar - hadir di acara itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan