Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Shanmugam: Tahanan radikal secara sendiri 'lebih sukar' dipulihkan - 75% masih terus ditahan

Encik Shanmugam berkata, sekitar "30 hingga 40 orang" kini dalam tahanan di Singapura akibat radikal secara sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Dalam Negeri K Shanmugam berkata sejak 15 tahun lalu, 9 daripada setiap 10 tahanan Jemaah Islamiyah (JI) berjaya dipulihkan dan mereka kembali menyertai masyarakat.

Ini ekoran sumbangan luar biasa Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).

Bagaimanapun, pemulihan orang-orang yang ditahan kerana menjadi radikal secara sendiri, jauh lebih rumit dan kurang berjaya.

Berucap di majlis Retreat RRG kali ke-14 hari ini, Encik Shanmugam mendedahkan, hanya 25 peratus berjaya dipulihkan dan sudah dibebaskan dan lagi 75 peratus terus ditahan.

Encik Shanmugam yang juga merupakan Menteri Undang-undang menyatakan isu menjadi radikal secara sendiri menjadi semakin buruk sejak empat lima tahun lalu.

Beliau mengakui bahawa kejayaan memulihkan golongan yang menjadi radikal secara sendiri tidak sebaik pemulihan tahanan JI, kerana isu tersebut lebih kompleks.

Isu-isu psikologi dan sosial yang membelenggu golongan ini juga lebih sukar menurut beliau dengan mereka masih terus "berpegang kepada kepercayaan mereka".

"Kita semua sedang cuba mewujudkan kaedah yang tepat untuk menangani mereka dan membantu mereka faham kesalahan mereka. Jadi, jika hanya mampu memberkaskan suku daripada mereka - tiga suku masih ditahan. Tapi kami tidak akan putus asa, kami akan terus berusaha mencari pendekatan betul bagi golongan radikal secara sendiri," tegas Encik Shanmugam.

SESEORANG TIDAK TIBA-TIBA BANGUN TIDUR DAN MAHU BUNUH ORANG

Beliau menambah bahawa bilangan mereka yang diberkas terus bertambah dan merangkumi bukan sahaja warga Singapura, tetapi juga para pekerja asing seperti dari Bangladesh.

Encik Shanmugam menambah bahawa MHA kini "memberkas lebih ramai wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah" tetapi beliau tidak mendedahkan bilangannya.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata bahawa seseorang tidak bangun dari tidur dan tiba-tiba mahu membunuh orang.

Sebaliknya, ada proses di sebaliknya, iaitu proses radikalisasi dan keadaan-keadaan yang mewujudkannya.

"Apa keadaan-keadaan tersebut? Apa yang mereka saksikan secara online. Juga, jika mereka terjerumus ke fahaman lebih eksklusif, lebih pecah belah - itu menjadi puncanya, rangka untuk mereka lebih lebih radikal kemudian," kata Encik Shanmugam.

SHANMUGAM: CUBA DAPATKAN ANAK MUDA AGAR KE MASJID

Lantaran itu, tegas beliau, salah satu tugasan utama Pemerintah sekarang ini ialah menggalak integrasi lebih luas, dengan menggalak rakyat menjadi penganut Kristian, Buddha, Hindu dan Muslim yang baik.

Encik Shanmugam berkata beliau sendiri membaca beberapa lagi buku tentang Islam sejak beberapa tahun ini dan kagum dengan kemurnian Islam dan sikap kemanusiaan dalam agama itu.

Disebabkan itu, beliau menambah, satu lagi trend yang membimbangkan ialah ramai daripada mereka yang ditahan kerana menjadi radikal secara sendiri, usianya semakin muda.

Misalnya, lima yang diberkas sejak 2015, berusia antara 17 hingga 19 tahun.

Beliau turut berkata: "Umumnya kami dapati golongan muda ini lemah dalam asas agama dan mudah terjebak. Mereka tidak faham agama Islam dan mudah tertarik dengan sesuatu yang mereka lihat. Tugasnya bagi kita, bagi anda, bagi saya, bagi MUIS, bagi semua orang ialah cuba mendapatkan mereka agar ke masjid, mendengar asatizah kita, agar mereka faham apa sebenarnya Islam."

Encik Shanmugam berkata, sekitar "30 hingga 40 orang" kini dalam tahanan di Singapura akibat radikal secara sendiri. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan