Images
  • shanmugam
    Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam semasa memberi ucapan di forum belia tahunan ACG pada 11 Ogos 2018.

Shanmugam gesa golongan belia 'lawan balik' fahaman radikal, pengganasan, segregasi

SINGAPURA: Lawan ekstremisme dan radikalisasi, serta lawan juga apa sahaja unsur yang membawa kepada segregasi dan menghalang integrasi.

Demikian mesej dan seruan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam kepada golongan remaja dan belia tempatan, semasa satu forum mengenai bahaya pengganasan, siang tadi (11 Ogos).

Berucap kepada 300 pelajar di Kolej Tengah ITE dalam forum bertajuk 'Bahaya Ekstremisme dalam Dunia Siber: Membina Daya Bingkas Belia' itu, Encik Shanmugam memberi perincian tentang landskap pengganasan di peringkat antarabangsa, serantau dan juga di Singapura sendiri.

SHANMUGAM: AL QAEDA, JEMAAH ISLAMIYAH LEBIH MEMBIMBANGKAN

Kumpulan pengganas ISIS katanya, walaupun berasal dari Timur Tengah, ia kini wujud di Eropah, Afrika, Amerika dan Asia. Walaupun ia sudah kehilangan wilayah yang ditawannya, ISIS masih ada keupayaan untuk melancarkan serangan-serangan, ujar beliau.

Namun Encik Shanmugam berkata, beliau kini lebih bimbang dengan kumpulan Al Qaeda dan Jemaah Islamiyah yang khususnya aktif di Indonesia, Malaysia, Filipina dan juga Singapura.

Kumpulan-kumpulan itu katanya sedang mencari anggota serta mungkin menjalankan serangan skala besar tidak lama lagi.

18 DARIPADA 20 YANG DIBERKAS DI S'PURA, JADI RADIKAL MENERUSI ONLINE

Di Singapura juga statistiknya membimbangkan. Bukan lagi lelaki, tetapi wanita turut diberkas dengan empat wanita ditahan sejak akhir-akhir ini.

Antara tahun 2007 hingga 2014 - iaitu tempoh lapan tahun - seramai 11 orang diberkas dek aktiviti pengganasan. Namun sejak tiga setengah tahun lalu pula 20 orang diberkas.

18 daripada mereka menjadi radikal secara online.

Encik Shanmugam mendedahkan: "Satu lagi perkara yang membimbangkan adalah, dahulu ia mengambil masa dua tahun untuk orang menjadi radikal. Tapi kini kadangkala dua bulan, tiga bulan sahaja... Keluarga tidak tahu, Ustaz tidak tahu mereka jadi radikal. Kadangkala di peringkat antarabangsa, 3-4 hari saja (untuk jadi radikal). Ini sangat sukar bagi pasukan keselamatan menanganinya."

GOLONGAN REMAJA, BELIA DIGESA "LAWAN BALIK"

Lantaran itulah, beliau menekankan, bukan Pemerintah sahaja tetapi golongan remaja dan belia juga harus "melawan balik".


Iaitu dalam erti kata mengelak daripada menjadi radikal dan jangan diperangkap secara online. Serta, melawan dengan menyebarkan mesej-mesej keamanan dan hidup dalam ruang bersama (common space).

Semua orang kata Encik Shanmugam boleh menjadi India, Melayu, Cina atau menjadi penganut Hindu, Buddha, Kristian, Taois atau Islam - namun ada satu lagi identiti, iaitu kita semua rakyat Singapura.

Jika tiada pergaulan antara mereka tegas Encik Shanmugam, identiti tersebut akan hilang. "Kita perlu kedua-dua identiti," tegas Encik Shanmugam.

"Pendirian saya, jika anda mahu beritahu masyarakat anda menjadi muslim lebih baik, bagus. Anda mahu beritahu masyarakat anda jadi Kristian lebih baik, bagus. Anda mahu bercakap tentang kegemilangan kaum atau bahasa anda sendiri, betapa ia bagus - ok tiada masalah. tapi jika anda kutuk orang lain, jika anda katakan agama atau kaum atau bahasa lain tidak bagus, kami akan datangi anda."

PESERTA FORUM TIMBA ILMU

Semasa forum anjuran Kumpulan Jagaan Susulan Antara Agensi (ACG) ini, tiga kumpulan pelajar juga membuat penyampaian dalam pertandingan projek media bagi menangani fahaman radikal.

Pemenang tempat ketiga dari Kolej Timur ITE misalnya akur mereka menimba ilmu baru yang boleh dipraktikkan.

"Saya juga belajar tentang app... SGSecure dan app itu adalah sangat baik dan bagus," kongsi Irfan Danial Jamil.

Rakannya Nurul Syawariah Jamil pula berkata: "Generasi ini kita pakai banyak telefon jadi senang untuk kita memberitahu seseorang kalau sesuatu itu mencurigakan."

Facebook Singapore dan Kesejahteraan Siber TOUCH juga berkongsi pelbagai strategi dan kemahiran dalam forum ini, demi memperkasa belia membina masyarakat lebih kukuh. 

- BERITAMediacorp/im

Top