Images
  • orang bekerja
    Gambar fail TODAY.

Semak dasar tenaga kerja agar ekonomi tidak terjejas, kata pakar

SINGAPURA: Perangkaan dalam laporan terbaru pasaran buruh oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagi suku pertama tahun ini memberikan gambaran yang optimis.

Namun, ia juga menimbulkan satu keprihatinan iaitu terdapat lebih banyak kerja kosong berbanding jumlah pemohon kerja.

Para penganalisis, ahli ekonomi dan pakar pengambilan pekerja berkata, lebih banyak pekerjaan berbanding jumlah penganggur sememangnya positif.

Bagaimanapun, mereka memberi amaran bahawa perangkaan tersebut menarik perhatian kepada tekanan-tekanan dalam pasaran buruh yang mesti ditangani.

Mereka berkata jika para majikan tidak dapat mengisi jawatan-jawatan kosong, kemajuan perniagaan dan ekonomi negara mungkin akan terjejas.

Ia juga akan menyebabkan inflasi gaji meningkat, yang mungkin akan menghadkan keupayaan syarikat-syarikat untuk menggajikan pekerja baru.

Lebih penting lagi, perangkaan tersebut mengukuhkan lagi amaran para pemimpin Singapura, yang baru-baru ini mengatakan bahawa Pemerintah perlu menyemak semula dasar tenaga kerja asing bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

Para penganalisis yang ditemui Mediacorp berkata, ini perlu dilakukan secepat mungkin kerana terdapat risiko momentum ekonomi mungkin terjejas.

Menurut mereka, menggajikan para pekerja asing dengan kemahiran yang diperlukan dalam industri-industri penting akan membantu merangsang ekonomi negara.

Namun buat masa ini, para pekerja bukan saja berpeluang meraih faedah dari segi kenaikan gaji, malah mereka juga boleh menjangkakan peluang untuk menjalani latihan dan meningkatkan kemahiran mereka, serta memainkan pelbagai peranan dalam syarikat, sedang syarikat-syarikat meneroka pilihan lain bagi mengisi jawatan-jawatan kosong.

- TODAY/AI/sm

Top