Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Seluas 50 hektar, daerah perniagaan baru Punggol bakal jana 28,000 pekerjaan, tumpu ekonomi digital

Perasmian hab baru perniagaan dan pendidikan di Punggol bermula tahun 2023, bakal menjana sebanyak 28,000 pekerjaan dalam bidang seperti keselamatan siber dan analitik data, serta membuka peluang-peluang pekerjaan yang "berhampiran dengan tempat tinggal".

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jan 2018 04:55PM Dikemas Kini : 21 Jan 2018 09:53PM

SINGAPURA: Perasmian hab baru perniagaan dan pendidikan di Punggol bermula tahun 2023, bakal menjana sebanyak 28,000 pekerjaan dalam bidang seperti keselamatan siber dan analitik data, serta membuka peluang-peluang pekerjaan yang "berhampiran dengan tempat tinggal".

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean mendedahkan demikian hari ini (21 Jan) semasa merasmikan sebuah pameran yang membolehkan orang ramai meninjau-ninjau pelan induk Daerah Digital Punggol.

Beliau berkara Daerah berkenaan akan menyokong usaha pemerintah bagi membina Negara Bijak, di mana teknologi boleh dimanfaatkan bagi mempersiapkan pekerja bagi ekonomi digital.

Daerah Digital Punggol, yang merangkumi taman perusahaan, kampus baru Institut Teknologi Singapura (SIT) dan kemudahan masyarakat, akan memupuk daya inovasi dan kolaborasi, menurut beberapa perancang yang berkongsi perincian lanjut tentang Daerah tersebut.

Pembangunan seluas 50 hektar itu kali pertama diumumkan sebagai sebahagian daripada Draf Pelan Induk Penguasa Pembangunan Semula Bandar pada tahun 2013, manakala perincian lebih lanjut mengenainya pula dikongsikan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada tahun lalu.

Penolong Ketua Pegawai Eksekutif JTC David Tan berkata perancangan daerah itu buat julung-julung kalinya melibatkan semua agensi yang bekerjasama sejak awal lagi bagi menghasilkan pelan bersepadu.

"Semua kemudahan dan prasarana dirancang dari mula, dan ia juga mengoptimumkan penggunaan tanah, tenaga, air dan sumber lain," kata Encik Tan.

"Ini bermakna kami juga boleh mewujudkan persekitaran kehidupan dan bekerja di sana secara lebih mampan."

JTC

(Gambar: JTC)

DAERAH PERUSAHAAN PERTAMA BERI KELONGGARAN PENGGUNAAN TANAH

Kawasan berkenaan, yang buat masa ini bidang tanah yang tidak digunakan di bahagian utara Punggol dan bahagian barat Coney Island, juga akan menjadi yang pertama di Singapura yang dibangunkan sebagai daerah 'perusahaan'. JTC, pemaju induk daerah berkenaan menyatakan ini akan menggalakkan kelonggaran dalam kepelbagaian penggunaan tapak tanah.

"Misalnya, tanah SIT dikhususkan bagi pendidikan, manakala taman perusahaan JTC dikhususkan sebagai taman perusahaan. (Tetapi) kerana ini adalah daerah Keusahawanan, kami boleh mempelbagaikan kegunaannya," jelas Encik Tan.

Encik Tan berkata pertukaran ruang itu akan membolehkan syarikat untuk berkolaborasi dengan universiti serta memupuk daya inovasi terbuka dan perkongsian idea.

Berucap di perasmian pelan induk tersebut, DPM Teo berkata pemindahan Agensi Keselamatan Siber kebangsaan kepada Daerah Digital Punggol sedang dikaji.

TAMAN PERUSAHAAN JTC RANGKUM SEKTOR PENTING INDUSTRI DIGITAL

Encik Tan mengatakan pembinaan bangunan taman perusahaan akan bermula tahun ini, dan sebaik saja ia siap bermula tahun 2023, ia akan menjadi kawasan bagi syarikat dalam sektor yang dikenal pasti Singapura sebagai bidang pertumbuhan, termasuk keselamatan siber dan 'Internet of Things' (IoT).

Penolong Ketua Eksekutif Penguasa Pembangunaan Infokom Media (IMDA), Angeline Poh berkata syarikat-syarikat yang menubuhkan kedai dalam taman perusahaan itu mungkin firma yang bukan sahaja didorong teknologi, tetapi juga yang memiliki elemen teknologi bagi asas khidmatnya.

Taman berkenaan bukan sahaja akan merangkumi syarikat berbilang negara (MNC) daripada sektor pertumbuhan ini, tetapi juga perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan syarikat pemula, yang membuka peluang bagi kerjasama antara mereka.

KEHADIRAN SIT PELUANG UNIK BAGI KERJASAMA INDUSTRI-AKADEMIA

DPM Teo berkata daerah digital akan menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran dengan kampus pusat yang baru bagi Institut Teknologi Singapura. SIT akan menyokong peningkatan kemahiran dan pendidikan berterusan dengan adanya pelbagai kursus gunaan.

Presiden SIT, Prof Tan Thiam Soon berkata universiti berkenaan akan menjadi makmal hidup bagi syarikat-syarikat.

JTC

(Gambar: JTC)

Sebagai contoh, Prof Tan berkata SIT memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan pengendali grid SP Group pada bulan Oktober tahun lalu, bagi membina grid mikro di kampus Punggol.

Ia akan beroperasi secara sendirian dari grid nasional, tetapi tenaga limpahan juga boleh disalurkan ke grid utama bagi menyokong daerah itu "jika diperlukan", jelas Prof Tan. Ini kemudian akan membolehkan SP Group menguji grid mikro dalam "persekitaran operasi sebenar".

PRASARANA MAJU, KEMUDAHAN BARU DALAM DAERAH TERSEBUT

Agensi-agensi perancangan menyatakan ciri utama daerah itu adalah penyepaduan kecerdasan buatan dan 'Internet of Things' di kemudahan dalam daerah berkenaan. Sebagai contoh, ia mendedahkan semua sistem di daerah itu akan diawasi secara online, dianalisis dan dikawal di lokasi pengurusan kemudahan bersepadunya itu.

Ia juga memiliki tempat mengumpul sampah automatik, sistem penyejukan daerah yang membekalkan air dingin kepada pelbagai bangunan bagi sistem hawa dingin serta tempat letak kereta bawah tanah yang besar.

Satu lagi ciri yang sedang diteroka adalah hab logistik pusat. Encik Tan berkata ini akan menjadi perhentian pertama bagi semua barangan yang dihantar ke daerah berkenaan.

Daerah Digital Punggol menawarkan kemudahan bagi menyokong lebih banyak pilihan perjalanan mesra alam, seperti berbasikal dan memandu dalam kenderaan tanpa pemandu. (Gambar: JTC)

(Gambar: JTC)

Daerah tersebut juga akan dilengkapi dengan kemudahan seperti pusat penjaja, pusat jagaan kanak-kanak dan kelab masyarakat. Ia juga akan dihubungkan kepada beberapa estet perumahan di kawasan itu.

Punggol Road yang sedia ada akan dikekalkan dan diubah menjadi jejak warisan sejauh 1.6 kilometer yang bakal menghubungkan Daerah Punggol dengan Punggol Waterway dan sebuah daerah perumahan akan datang di Punggol Point.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan