Images
  • ustaz nuzhan
    Majlis Penghargaan yang dianjurkan buat julung-julung kalinya di Pendaftar Pernikahan Orang-Orang Islam (ROMM). (Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Sekumpulan kadi, naib kadi ganding bahu orak program demi pasangan Muslim kukuhkan mahligai

SINGAPURA: Sekumpulan kadi dan naib kadi Singapura kini mengorak langkah proaktif mereka sendiri dan bergabung untuk melakar pelbagai program, demi membantu pasangan-pasangan Melayu/Islam tempatan membina rumah tangga dan keluarga lebih kukuh.

Mereka akan bekerjasama dengan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Islam, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta agensi-agensi M³ bagi mencapai tujuan itu.

MASAGOS: TOK KADI BUKAN SETAKAT "GONCANG" TANGAN PASANGAN

Masalah-masalah dadah dan sosial yang membelenggukan masyarakat Melayu/Islam tempatan, seperti lebih 1,630 perceraian yang dicatatkan tahun lalu, boleh diatasi jika struktur sesebuah keluarga itu berdiri teguh.

Ini, menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli, memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk juga kadi dan naib kadi.

Berucap di Majlis Penghargaan yang dianjurkan buat julung-julung kalinya di Pendaftar Pernikahan Orang-Orang Islam (ROMM) untuk mengiktiraf sumbangan 30 kadi dan naib kadi kepada masyarakat siang tadi (9 Nov), Encik Masagos menegaskan bahawa mereka sebenarnya ada peranan besar - bukan setakat menikahkan mempelai.

Yakni, mereka boleh 'memimpin' pasangan-pasangan Islam menuju mahligai yang bertahan sepanjang hayat, dan bercirikan nilai-nilai positif sehingga melimpah ke generasi-generasi selanjutnya.

"Wujudkanlah satu sistem di mana masyarakat dan pasangan-pasangan yang akan menjalani hidup berumahtangga itu tahu di manakah tempat mereka mengadu, di manakah tempat mereka mendapatkan bimbingan yang begitu peribadi dan intim," gesa Encik Masagos.

"Keluarga yang kukuh datang dari rumahtangga yang teguh dan inilah tunggak bagi generasi kita pada masa hadapan," jelas beliau lanjut.

KADI, NAIB KADI AMBIL LANGKAH PROAKTIF DEKATI BAKAL PASANGAN MEMPELAI

Lantaran itu, Encik Masagos mengajak para kadi dan naib kadi agar menjalin hubungan lebih awal dengan bakal-bakal mempelai demi membekalkan mereka dengan ilmu dan kefahaman yang diperlukan untuk melayari bahtera perkahwinan.


Gambar Ustaz Muhd Nuzhan Abdul Halim antara 25 naib kadi yang mendapat penghargaan atas sumbangan kepada masyarakat. (Gambar: Fariza Abdul Aziz)

Beliau memuji naib kadi seperti Ustaz Muhd Nuzhan Abdul Halim, yang mengorak langkah proaktif dengan menawarkan kursus rumahtangga percuma buat pasangan-pasangan yang akan dan telah beliau nikahkan.

"Saya faham masa yang terbatas bagi mereka dan dari segi ekonomi dan kewangan mereka tentunya perlukan perbelanjaan yang banyak dalam pembiayaan majlis mereka. Jadi saya cuba untuk meringankan beban dan cuba buat apa yang terbaik demi menyiapkan dan menyediakan mereka masuk dalam alam rumahtangga," ujar Ustaz Muhd Nuzhan.

Ustaz Nuzhan merupakan antara 25 naib kadi, bersama lima kadi lain, yang diberi penghargaan atas sumbangan mereka kepada masyarakat.

Malah lebih menarik lagi, sekumpulan daripada mereka kini sudahpun menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi memimpin usaha memeta rancangan untuk memperkukuh rumahtangga pasangan-pasangan Islam.

Kumpulan kadi dan naib kadi itu terdiri daripada Ustaz Pasuni Maulan, Ustaz Firdaus Yahya, Ustaz Harunarrashid Zainudin dan Ustaz Maarof Mohamad.

'DIBERI BEKALAN' UNTUK 'BINA MASJID'

Ustaz Pasuni berkata bahawa menerusi usaha yang akan dijalankan itu, pasangan-pasangan Melayu/Islam akan "diberikan bekalan" yang dapat membantu mereka melalui alam rumahtangga.

"Jadi kalau kita membina sebuah 'masjid' (berumahtangga) dan 'masjid' itu tidak mempunyai unsur-unsur yang dapat memakmurkan, yang dapat mengukuhkan dan apatah lagi 'masjid' itu tidak dapat melahirkan anak-anak yang boleh menyumbangkan kepada ibu bapa dia, kepada masyarakat dan kepada negara. Itu amat merugikan," kata jurunikah veteran itu.

Ustaz Pasuni juga berharap, program-program yang bakal diperkenalkan nanti dapat membantu pasangan-pasangan suami isteri menempuh alam perkahwinan dengan berjaya dan sekali gus mengurangkan masalah yang dihadapi oleh masyarakat.


Usaha tersebut mendapat sokongan Setiausaha Parlimen Kanan MSF, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang berkata bahawa inisiatif seperti itu akan amat menyumbang kepada "perkahwinan yang kukuh" dan "akan membawa kebaikan kepada masyarakat Singapura".

MASAGOS KONGSI PENGALAMAN SEMASA MAHU KAHWIN

Menyingkap waktu beliau ingin mendirikan rumahtangga 30 tahun lalu, Encik Masagos berkata, ia adalah lumrah bagi setiap ibu bapa menyuruh anak-anak mereka menghadiri kursus persiapan perkahwinan.

Bahkan, soalan pertama yang diajukan kepada Encik Masagos dan bakal isterinya ketika sesi 'temu duga' semasa mendaftar untuk berkahwin, adalah - sama ada beliau sudah mengikuti kursus rumahtangga.

Tok kadi yang akan menikahkan Encik Masagos ketika itu ialah Ustaz Pasuni Maulan.

Mendengar sahaja jawapan "tidak" daripada Encik Masagos dan isterinya, Ustaz Pasuni dengan tegas menyuruh mereka mengikuti dahulu kursus rumahtangga.

Encik Masagos berkongsi demikian untuk menekankan betapa kursus rumahtangga adalah satu kemestian bagi setiap calon mempelai dahulu. Beliau menambah ia wajar digalakkan malah dititikberatkan kepada pasangan-pasangan sekarang supaya dapat mencapai keluarga serta masyarakat harmoni yang diidamkan. 

- BERITAmediacorp/FZ/ai

Top