Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sekumpulan anak Melayu pentaskan isu gangguan mental demi sokong rakan sebaya

Prihatin tentang keadaan kesihatan mental dalam kalangan rakan-rakan sebaya mereka, kumpulan belia The Middle Ground Project memilih untuk mengetengahkan isu-isu gangguan mental melalui pementasan tarian teater bertajuk (ME)NTAL.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Sekitar 8.6 peratus belia di Singapura yang berusia antara 18 hingga 34 tahun mengalami gangguan mental semasa jangka hayat mereka.

Ini termasuk kemurungan dan golongan usia ini mengalami kemurungan seganda lebih tinggi berbanding kumpulan usia yang lain.

Ini menurut Kajian Kesihatan Mental Singapura (SMHS) yang dijalankan oleh Institut Kesihatan Mental (IMH) pada 2010.

Namun, ramai dalam kalangan mereka takut untuk mendapatkan bantuan walaupun sedar akan tanda-tanda gangguan yang dialami.

Prihatin tentang keadaan kesihatan mental dalam kalangan rakan-rakan sebaya mereka, kumpulan belia The Middle Ground Project memilih untuk mengetengahkan isu-isu gangguan mental melalui pementasan tarian teater bertajuk (ME)NTAL.

9 JENIS GANGGUAN MENTAL DIPENTASKAN

Pementasan ini dipersembahkan oleh sembilan penari yang juga pelakon dalam lingkungan usia antara 16 dengan 22 tahun.

Berbekalkan ilmu dan minat dalam bidang seni tari, persembahan mereka memaparkan sembilan jenis gangguan mental yang sering dialami golongan belia.

Poster-poster pementasan (ME)NTAL (Gambar: Facebook/The Middle Ground Project) 

“Kami menggunakan genre-genre tari seperti hip-hop, urban dan juga kontemporari. Kami juga mengimplementasikan gaya lakonan melalui riak wajah untuk menonjolkan pelbagai emosi seperti mereka yang mengalami gangguan mental,” kata Nurhayati Binte Haji Md Zan, 21 tahun, Pegawai Pemasaran (ME)NTAL.

Jenis-jenis gangguan mental yang bakal dipentaskan termasuk yang kurang dibincangkan dalam masyarakat seperti skizofrenia, bipolar, keresahan dan gangguan personaliti histrionik. 

KOMITMEN DEMI ORANG TERSAYANG

Walaupun berusia semuda 16 tahun dan datang daripada latar belakang yang berbeza, kumpulan belia ini tidak canggung bergabung tenaga dan meluangkan masa untuk pementasan tersebut. Komitmen mereka begitu ketara sejak latihan dimulakan empat bulan yang lalu.

“Saya mempelajari lebih tentang diri saya, dan bagaimana untuk mengatur masa dengan lebih baik. Sebagai pelajar Menengah 4 yang akan menduduki Peperiksaan 'O' Level, saya rasa masa agak singkat,” Muhammad Shah Zaine Bin Esham, 16 tahun, memberitahu BERITAMediacorp.

Pelakon dan penari, Muhammad Shah Zaine (tengah), dalam adegan pembukaan (ME)NTAL (Gambar: BERITAMediacorp/Zulaikha Zulkiflee)

Semangat yang ditonjolkan didorong oleh pengalaman peribadi para pelakon dan penari, yang pernah berdepan dengan rakan-rakan dan anggota keluarga yang mengalami gangguan mental.

“Ramai yang amat rapat dengan saya seperti keluarga dan rakan-rakan yang mengalami gangguan mental, jadi saya mahu memahami dan bersimpati dengan mereka yang mengalami gangguan mental ini,” kata Shahizman Bin Muhammad Sulaiman, 17 tahun, pelajar tahun pertama di LASALLE.

Bagi pelajar tahun kedua Politeknik Nanyang, Siti Nur Haslinda Bte Slamat: “Saya mengambil bahagian dalam produksi ini kerana saya ingin mempamerkan bakat saya dan juga meluaskan pengetahuan saya dalam masalah kesihatan mental.”

RAKAN SEBAYA PENTING DALAM TANGANI GANGGUAN MENTAL

Pelibatan para belia dalam perbincangan tentang gangguan mental seperti ini penting bagi menangani isu mereka yang takut meminta bantuan kerana bimbang dipandang serong oleh masyarakat.

Ini disebabkan oleh stigma atau persepsi negatif yang dikaitkan dengan mereka yang mengalami gangguan mental.

Walaupun kesedaran mengenai isu kesihatan mental meningkat dalam kalangan masyarakat tempatan, namun sikap proaktif bagi mendapatkan bantuan dan menjalani pemulihan tetap menjadi satu cabaran bagi ramai yang mengalami gangguan mental.

Hanisah Binte Abdul Jalil, Pegawai Pendampingan Belia dari Pasukan Penilaian Kesihatan Masyarakat (CHAT), menekankan pentingnya bagi golongan belia untuk mendapat sokongan daripada rakan-rakan sebaya.

Dengan itu, pengetahuan tentang apa yang perlu dilakukan untuk membantu seseorang yang mengalami gangguan mental harus diterapkan dalam golongan anak muda.

“Bagi belia ini mereka semua sama umur dan rasa rakan-rakan mereka lebih memahami. Dan apabila berdepan dengan rakan-rakan yang sedang mengalami masalah gangguan mental, mereka pun harus tahu mana sumber-sumber untuk mencari bantuan pakar. Jadi mereka memainkan peranan yang besar dalam mendekati atau mempengaruh rakan-rakan rapat yang menghadapi masalah, berbanding dengan pakar,” kata Cik Hanisah.

CHAT yang ditubuhkan pada 2009 adalah sebuah program di bawah naungan IMH yang dikhususkan untuk membantu belia menangani isu kesihatan mental.

(ME)NTAL menetapkan sasaran untuk mendampingi 240 belia dan juga orang awam melalui persembahan yang bakal diadakan pada 27 dan 28 April ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/zz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan