Images
  • women
    Gambar fail. (Gambar: AFP/Menahem Kahana)

Sediakan secara percuma jagaan kanak-kanak bagi keluarga bergaji rendah, usul AWARE

SINGAPURA: Menyediakan khidmat jagaan kanak-kanak secara percuma bagi keluarga berpendapatan kurang S$2,500 sebulan, sambil mempertingkatkan skim bantuan kewangan ComCare dan perlindungan yang lebih baik bagi pekerja kasual.

Itulah antara saranan yang dikemukakan oleh Persatuan Kajian dan Tindakan Wanita (AWARE) untuk membantu golongan wanita keluar daripada lingkaran kemiskinan selepas mengadakan pertemuan dengan 47 ibu daripada golongan berpendapatan rendah yang sedang mencari kerja secara aktif.

Selain bantuan ComCare selepas berhasil mendapat pekerjaan, laporan AWARE itu turut menyarankan agar Pemerintah memadankan setiap dolar yang berjaya dikumpul oleh kumpulan tersebut. Buat masa ini, bantuan ComCare dihentikan sebaik sahaja penerima mendapat kerja.

Menurut pengarah eksekutif AWARE Corinna Lim pada Jumaat (10 Ogos), laporan bertajuk "Why are you not working?" ("Mengapa anda tidak bekerja?") dihasilkan selepas badan tersebut mendapat tahu bahawa wanita yang dibantu mendapatkan pekerjaan oleh sesebuah badan amal, tidak dapat bertahan lama.

Badan kebajikan yang membantu para wanita mendapat kerja adalah 'Daughters of Tomorrow', yang membantu wanita berpendapatan rendah mendapatkan pekerjaan.

Cik Lim mendedahkan bahawa AWARE sudah membentangkan dapatan daripada laporan tersebut kepada para wakil agensi-agensi pemerintah dua minggu lalu.

CABARAN DIHADAPI WANITA DARI KELUARGA BERGAJI RENDAH

Kebanyakan responden berusia antara 36 hingga 40 tahun dan berpendidikan sama ada peringkat GCE 'N' atau 'O'.

"Dapatan kami menunjukkan bagaimana para ibu daripada keluarga berpendapatan rendah terhambat oleh jagaan kanak-kanak yang tidak mencukupi dan syarat-syarat kerja yang tidak menawarkan pekerjaan yang memuaskan. Ini membawa kesan yang mendalam terhadap kehidupan mereka dan keselamatan kewangan generasi seterusnya," menurut AWARE.

Antara cabaran yang dihadapi golongan wanita sebegini adalah mereka perlu bekerja selama tempoh tertentu sebelum mendapat subsidi penjagaan kanak-kanak, namun tidak dapat keluar bekerja kerana kurang sokongan keluarga.

Bagi para ibu yang berhasil mendapatkan tempat di pusat jagaan kanak-kanak, mereka juga tidak mendapat sokongan jagaan apabila pusat jagaan kanak-kanak ditutup atau apabila anak mereka tidak sihat.

Menurut laporan AWARE lagi, wanita tersebut juga berdepan dengan masalah kekurangan CPF dan faedah cuti. Mereka juga mungkin dipecat secara tidak sah, misalnya ketika mereka hamil.

AWARE akan mengadakan perbincangan panel untuk melancarkan laporan tersebut secara terbuka esok (11 Ogos).

- CNA/TQ/tq

Top