Images
  • yishun woman
    (Gambar: Traffic News)

SCDF selamatkan wanita dari bumbung jejantas Yishun

SINGAPURA: Pergerakan trafik terganggu di Yishun Avenue 2 berdekatan stesen MRT Khatib lewat petang ini (14 Jun) sedang para pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyelamatkan seorang wanita yang berjalan di bumbung jejantas.

Video dan gambar yang tersebar luas di media sosial menunjukkan beg-beg udara dipasang di tempat kejadian dan ramai orang menyaksikan kejadian tersebut.

Dalam beberapa petikan gambar, para pegawai dilihat memanjat jejantas berkenaan. Satu video menunjukkan mereka menarik wanita tersebut untuk menyelamatkan beliau. Menurut SCDF, wanita berkenaan dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat.

Polis menyatakan mereka dimaklumkan tentang kes tersebut pada 4.55 petang. Menyusuli operasi menyelamat itu, wanita berkenaan ditangkap kerana cuba untuk membunuh diri.

Yishun Avenue 2 dan jalan-jalan raya antara Yishun Ring Road dan Yishun Avenue 7 ditutup sementara untuk memberi laluan bagi operasi polis dan SCDF.

Satu pemberitahuan menerusi app SMRT Connect menyatakan khidmat bas 169, 883 dan 965 antara Yishun Avenue 2 dengan Yishun Ring Road dilencongkan buat sementara akibat kejadian "keselamatan".

Pada sekitar 6.15 petang, kemas kini pada app tersebut memberitahu yang khidmat bas beroperasi seperti sediakala.

Seorang pembaca portal Mediacorp berkata beliau melihat kenderaan berdekatan jejantas berkenaan "terhadang" di kedua-dua arah jalan.

"Apabila saya tiba, pegawai SCDF sedang mendekati (wanita itu)," kata beliau.

Saksi lain turut membuat catatan di media sosial mengenai kejadian tersebut.

- CNA/TQ/tq

Top