Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SCDF dedah beberapa prototaip robot, mungkin digunakan bagi pertingkat keupayaan operasi

Robot-robot mungkin digunakan untuk memadam kebakaran serta operasi menyelamat pada masa depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Apr 2018 07:45PM Dikemas Kini : 18 Apr 2018 11:39PM

SINGAPURA: Robot-robot mungkin digunakan untuk memadam kebakaran serta operasi menyelamat pada masa depan.

Pasukan Pertahanan Awam SCDF mendedahkan beberapa prototaip robot itu di seminar pelan kerjanya hari ini (18 Apr). Ia bertujuan meningkatkan keupayaan operasinya serta mengurangkan bilangan kakitangan yang diperlukan.

Antaranya adalah Robot Red Rhino yang boleh dikerah untuk memadamkan api tanpa menggunakan air terlalu banyak. Ia juga dapat membantu meningkatkan keupayaan SCDF serta mengurangkan keperluan tenaga kerja.

"Robot ini juga boleh memasuki ruang lebih dalam dan lebih dekat dengan punca kebakaran, tanpa risiko melibatkan ahli bomba. Selain itu ia berupaya mengesan haba secara automatik dan ini membolehkannya mengesan kebakaran dengan sendiri dan mencari di mana puncanya," kata Penolong Pesuruhjaya Ling Young Ern yang juga Pengarah Jabatan Operasi.

Prototaip robot yang didedahkan di seminar pelan kerja SCDF bakal diuji dalam keadaan kebakaran sebenar hingga akhir tahun ini.

Ia merupakan salah satu contoh bagaimana SCDF memanfaatkan kaedah robotik bagi meningkatkan keupayaan pasukan bertindak di barisan hadapan.

"Ia bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan tenaga manusia tetapi juga mempertingkatkan keupayaan SCDF dalam menangani kes kebakaran. Semua itu meningkatkan tahap kesediaan operasi SCDF serta keupayaannya untuk bertindak dalam keadaan kecemasan dan menyelamatkan nyawa," kata Menteri Ehwal Dalam Negeri Encik K Shanmugam yang melancarkan inisiatif itu hari ini (18 Apr).

Projek Exoskeleton juga sedang diusahakan. Ia membolehkan seorang anggota penyelamat mengangkat peralatan seberat 40 kilogram dengan mudah.

Robot di bawah projek itu mampu bergerak di atas permukaan tidak rata bagi mencari mangsa-mangsa dalam operasi mencari dan menyelamat di kawasan bandar.

SCDF turut menjalankan usaha untuk membangunkan sebuah sistem menjejaki para anggota bomba di dalam sebuah bangunan untuk memastikan keselamatan mereka.

Biasiswa bagi para paramedik pula akan ditawarkan lewat tahun ini.  

Sumber : CNA/NT/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan