Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Saya belum ada rancangan bagi rumah di Oxley Road selepas ia dirobohkan," kata Lee Hsien Yang

Encik Lee Hsien Yang hari ini (18 Jun) menyatakan bahawa sejauh ini beliau belum mempunyai sebarang rancangan bagi tapak kediaman mendiang bapanya, Lee Kuan Yew, di Oxley Road.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Jun 2017 07:30PM Dikemas Kini : 19 Jun 2017 07:18AM

SINGAPURA: Encik Lee Hsien Yang hari ini (18 Jun) menyatakan bahawa sejauh ini beliau belum mempunyai sebarang rancangan bagi tapak kediaman mendiang bapanya, Lee Kuan Yew, di Oxley Road.

Sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp, Encik Lee, yang berselisih faham dengan abangnya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, berhubung rumah itu berkata: "Saya membeli rumah itu untuk memenuhi keinginan ibu bapa saya. Itu satu-satunya tujuan saya. Saya belum memikirkan tentang perkara-perkara menjangkaui kerja-kerja merobohkannya jika saya dapat melakukan demikian."

Encik Lee menambah beliau belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan kelulusan merobohkan rumah tersebut dan kakaknya, Dr Lee Wei Ling, tiada hasrat untuk berpindah dari kediaman itu.

"Kakak saya menetap di sana dan beliau mahu terus hidup (di sana)."

Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee adalah pentadbir dan pemegang amanah bagi wasiat mendiang Encik Lee dan mahu pemerintah menghormati keinginannya supaya rumah itu dirobohkan segera setelah pemergiannya atau setelah Dr Lee berpindah.

PM Lee pula sebelum ini berkata di Parlimen bahawa beliau berhasrat untuk memenuhi wasiat bapanya berhubung rumah itu dan beliau akan mengecualikan diri daripada sebarang keputusan pemerintah mengenainya.

Awal minggu ini, sebuah jawatankuasa menteri dilaporkan sedang meneliti pilihan-pilihan bagi rumah yang terletak di 38 Oxley Road itu.

PM Lee mendedahkan kepada umum ringkasan akuan berkanun yang dibuatnya berhubung perkara itu, menekankan "keprihatinan mendalam" tentang bagaimana wasiat bapanya disiapkan.

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean semalam (17 Jun) menerusi satu kenyataan memberitahu bahawa tiada 'rahsia' tentang jawatankuasa menteri dan berkata pemerintah bertanggungjawab menimbangkan aspek kepentingan umum berhubung mana-mana hartanah warisan dan yang penting dari segi sejarah.

Ini termasuk rumah mendiang Encik Lee Kuan Yew memandangkan "banyak keputusan genting tentang masa depan Singapura dibuat di sana oleh Encik Lee dan para pemimpin perintis kita", kata beliau.

DPM Teo turut berkata beliau sudah menugaskan agensi-agensi relevan untuk meneliti pilihan-pilihan bagi rumah tersebut dan berkongsi beberapa pilihan dengan PM Lee dan adik-adiknya.

"Misalnya, mereka tahu saya secara peribadi tidak menyokong dua pilihan: Satu, memulihara rumah itu seperti sedia kala untuk membolehkan orang ramai mengunjunginya jelas bertentangan dengan kemahuan mendiang Encik Lee Kuan Yew serta isteri beliau; dan satu lagi, merobohkannya untuk dijadikan kediaman privet," ujar DPM teo.

Beliau menambah jawatankuasa itu juga sudah meneliti pelbagai pilihan jalan tengah seperti merobohkan rumah itu namun mengekalkan ruang makan di bahagian besmen di mana banyak mesyuarat penting bersejarah dijalankan dan ditempatkan bersebelahan sebuah pusat warisan.

Penelitian-penelitian ini masih dijalankan, kata DPM Teo.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan