Images
  • spize
    Restoran Spize@River Valley yang masih ditutup dan sedang menjalani kerja-kerja pembersihan. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Salmonella punca insiden keracunan makanan Spize River Valley; operasi cawangan dibatalkan

SINGAPURA: Lesen operasi restoran Spize River Valley dibatalkan dengan serta merta menyusuli kes keracunan makanan yang berlaku bulan lalu, menurut pihak berkuasa hari ini (7 Dis).

Ini setelah siasatan selesai dijalankan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA).

Tujuh insiden keracunan makanan didapati mempunyai kaitan dengan Spize River Valley, melibatkan 82 orang yang memakan makanan dari cawangan itu antara 6 dengan 9 Nov. 47 orang dimasukkan ke hospital.

Di satu sidang media bersama hari ini (7 Dis), NEA, MOH dan AVA mendedahkan, beberapa kekurangan kebersihan yang serius dikesan semasa pemeriksaan bersama pertama dijalankan di restoran Spize River Valley pada 7 Nov.

Antara kekurangan itu adalah membiarkan makanan yang sudah dimasak di peti sejuk tanpa ditutup dan tidak menyediakan sabun untuk mencuci tangan.

Pemeriksaan bersama yang kedua pula dijalankan pada 14 Nov, apabila pemegang lesen dan para pengendali makanan disoal.

Daripada pemeriksaan berkenaan, NEA, MOH dan AVA mengenalpasti tujuh pengendali makanan yang tidak berdaftar. Makanan juga disediakan di luar kawasan dapur berlesen dan amalan kebersihan peribadi dan penyediaan makanan tidak dijaga dengan baik.

Sementara itu, menerusi satu siasatan makmal, sejenis bakteria yang biasa ditemui Salmonella Typhimurium diasingkan daripada sampel klinikal beberapa kes terjejas, makanan mentah dan siap dimasak serta sampel persekitaran dari premis yang terjejas.

Siasatan mendapati kesemua pengasingan Salmonella Typhimurium itu berkait rapat antara satu sama lain lantas menyarankan kesemuanya berasal dari sumber yang sama.

Kesan wabak Salmonella Typhimurium lebih teruk daripada biasa dan ini menyarankan bahawa makanan terbabit tercemar dengan teruk.

Cawangan-cawangan lain di bawah rangkaian Spize juga diperiksa bagaimanapun tiada bukti yang menunjukkan kaitan wabak tersebut dengan cawangan-cawangan lain dan mereka dibenarkan untuk terus beroperasi.

Dalam pada itu, NEA akan mempertingkatkan pemeriksaan terhadap kedai-kedai makanan semasa musim perayaan ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap sebarang pengendali yang gagal memastikan keselamatan makanan dijaga. 

- BERITAmediacorp/na

Top