Images
  • sgx
    Orang ramai di luar bangunan SGX. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Saham S'pura jatuh ke paras terendah dalam tempoh 20 bulan

SINGAPURA: Bursa saham Singapura turut terjejas dengan kejatuhan bursa-bursa di serata dunia, susut tiga peratus ke paras terendahnya dalam tempoh 20 bulan hari ini (11 Okt), menyusuli penjualan di Wall Street yang membuat para pelabur berasa bimbang.

Para pelabur menjual saham-saham mereka berdasarkan beberapa faktor, termasuk kadar faedah yang terus melambung di Amerika Syarikat, perang dagang hebat antara China dengan Amerika Syarikat serta amaran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tentang kestabilan kewangan global dan risiko-risiko pertumbuhan.

Indeks Straits Times (STI) jatuh serendah 3,035.2, yang paling rendah sejak 3 Februari 2017, sebelum naik sedikit dan ditutup 2.7 peratus lebih rendah pada 3,047.39 mata.

STI terjejas oleh kerugian besar dalam sektor kewangan, dengan UOB, DBS dan OCBC masing-masing ditutup sekitar 2.5 peratus.

Keseluruhannya, 2.1 bilion saham bernilai S$1.6 bilion didagangkan di Singapura hari ini (11 Okt) di mana saham yang ditutup lebih rendah melampaui jumlah saham yang meraih keuntungan.

Di rantau ini, Indeks Komposit Shanghai menjunam lebih 6 peratus sebelum menutup kerugian dan ditutup 5.22 peratus dengan 2,583.46 mata, paras yang tidak pernah dicecah sejak 25 November 2014.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng ditutup rendah pada 3.5 peratus, dengan 25,266.37 mata, paras terendah sejak 19 Mei 2017.

Bursa saham Korea Selatan jatuh 4.4 peratus kepada 2,2129.67, penyusutan paling ketara dalam tempoh hampir tujuh tahun, sementara Nikkei mengalami penurunan 3.9 peratus kepada 22,590.86.


(Gambar: Gal Roma/AFP)

Kemerosotan di Asia menyusuli kejatuhan saham di New York semalam (10 Okt), dengan Dow Jones merosot hampir 830 mata - penurunan paling besar sejak Februari.

"Semuanya di luar jangkaan," kata Encik Stephen Innes, Ketua Perdagangan Asia-Pasifik di OANDA, sambil menambah bahawa bursa saham "sangat tidak menentu".

Beberapa bulan sebelum ini, perang dagang kian tegang juga menjejas pelaburan di mana para pelabur bimbang akan pertumbuhan ekonomi dunia.

Kemerosoton dalam Wall Street pada Rabu (10 Okt) cukup membimbangkan sehingga ia menarik perhatian Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang mengatakan bahawa penjualan sememangnya "pembetulan" yang dinanti-nantikan, dan Bank Simpanan Federal (Federal Reserve), yang terus-menerus menaikkan kadar faedah, sudah menjadi "gila".

Encik Steven Leung, pengarah penjualan di broker saham UOB Kay Hian, menyatakan bahawa kesan penjualan ekuiti Amerika Syarikat dan kebimbangan perang dagang menjejas bursa saham dan akan turut dialami di Asia.

"Kami tidak pernah menyaksikan kemerosotan besar dalam bursa saham Amerika Syarikat buat waktu agak lama. Kami tidak dapat memastikan sejauh mana ia akan berlanjutan," katanya. "Pasaran juga bimbang jika hubungan Amerika-China akan terus memburuk." 

- CNA/Agensi berita/AQ/aq

Top