Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura 'tidak teragak-agak ambil tindakan tegas terhadap pencerobohan' M'sia: Khaw Boon Wan

Singapura "tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan" di perairannya jika perlu, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hari ini (6 Dis) dalam sidang media bagi mengulas tentang peluasan had pelabuhan Johor Bahru.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Dec 2018 07:53PM Dikemas Kini : 06 Dec 2018 10:58PM

SINGAPURA: Singapura "tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan" di perairannya jika perlu, kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan hari ini (6 Dis) dalam sidang media bagi mengulas tentang peluasan had pelabuhan Johor Bahru.

Encik Khaw berkata, terdapat 14 pencerobohan di perairan Singapura berdekatan Tuas sejak dua minggu lalu, selepas perubahan had pelabuhannya diumumkan melalui Warta Kerajaan Persekutuan Malaysia pada 25 Oktober 2018.

Singapura sudah membantah pencerobohan yang dilakukan berkali-kali melalui tiga Nota Pihak Ketiga, tambahnya.

Encik Khaw menambah, agensi keselamatan Singapura akan terus meronda kawasan berkenaan dan mengambil tindakan terhadap sebarang kegiatan tanpa izin di lapangan.

Beliau selanjutnya berkata, agensi-agensi sejauh ini sudah memberikan respons "dengan mengenakan kekangan terhadap tindakan-tindakan agresif oleh kapal-kapal kerajaan Malaysia", tetapi menambah bahawa Singapura "tidak boleh membiarkan kedaulatan dicabul, atau fakta-fakta baru diwujudkan di lapangan".

"Maka itu, jika perlu, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pencerobohan atau kegiatan yang tidak dibenarkan di perairan Singapura bagi melindungi wilayah dan kedaulatan kami," kata Encik Khaw.

Menteri itu turut mengumumkan bahawa Singapura sudah memutuskan untuk meluaskan had pelabuhannya di Tuas.

"Di tengah-tengah perkembangan bersifat provokatif baru-baru ini, kami sudah memutuskan untuk memperluas Had Pelabuhan Singapura di Tuas melalui Pemberitahuan Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (Had Pelabuhan) (Pindaan) 2018," kata Encik Khaw.

"Peluasan ini dalam Perairan Wilayah Singapura, dan menjejaki sempadan timur Had Pelabuhan Johor Bahru 1999.

"Warta itu berkuat kuasa mulai hari ini," tambahnya.

"TERANG-TERANGAN SATU PROVOKASI"

Pada 1979, Malaysia menerbitkan satu peta yang menunjukkan had perairan wilayah yang dituntut, termasuk tuntutannya bagi Pedra Branca, serta kawasan-kawasan dekat dengan timur dan barat Singapura, kata Encik Khaw dalam sidang media tersebut.

Singapura sudah membantah kepada Malaysia bagi menolak tuntutannya terhadap Pedra Branca dan juga "menyatakan dengan mutlak bahawa garisan-garisan sempadan yang baru itu melanggar kedaulatan Singapura dan tidak boleh diterima negara ini," katanya.

Satu peta yang menunjuk wilayah perairan yang dituntut Malaysia pada 1979. (Gambar: MOT)

Satu peta yang menunjuk wilayah perairan yang dituntut Malaysia pada 1979. (Gambar: MOT)

Bagaimanapun, pada 1987, Malaysia menerbitkan Had Pelabuhan Johor Bahru, dan membuat sedikit perubahan selepas itu, pada 1999. Sejak itu, selama 20 tahun, Had Pelabuhan Johor Bahru 1999 masih dikekalkan.

Namun, pada 25 Okt, had itu "dilakukan mengikut keputusan sepihak dan dilanjutkan secara sewenang-wenangnya", kata Encik Khaw.

"Agak berlainan daripada kenyataan bahawa Singapura tidak pernah menerima tuntutan wilayah 1979 mereka, peluasan had pelabuhan Johor Bahru melampaui apa yang Malaysia mendakwa adalah perairan wilayahnya," kata beliau.

Had Pelabuhan Johor Bahru 1999. (Gambat: MOT)

Had Pelabuhan Johor Bahru 1999. (Gambat: MOT)

Menurut Encik Khaw, Singapura sudah - sejak sekurang-kurangnya tahun 1999 - melaksanakan bidang kuasa di perairan yang kini termasuk peluasan had pelabuhan baru-baru ini.

"Kami sudah mengadakan rondaan di kawasan ini setiap hari, dan membantah sebarang pencerobohan atau kegiatan yang tidak dibenarkan. Malaysia tidak pernah menuntut hak ke atas perairan ini, ataupun membantah tindakan kami di sini," katanya.

"Kini, tiba-tiba, Malaysia menuntut wilayah perairan milik Singapura. Tanpa sebarang rundingan terdahulu, Malaysia berharap untuk menukar status quo yang sudah lama di kawasan ini secara sepihak.

"Ini terang-terangan satu provokasi dan pencabulan serius terhadap kedaulatan kami serta undang-undang antarabangsa," tambah beliau.

Menteri Pengangkutan Singapura itu menarik perhatian bahawa "negara-negara sememangnya akan menukar had pelabuhan mereka dari semasa ke semasa."

"Namun negara-negara perlu melakukannya dengan cara yang tidak melanggar undang-undang antarabangsa atau mencabul kedaulatan negara lain," katanya, sambil menambah bahawa terakhir kali Singapura menukar had pelabuhannya adalah pada 1997.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan