Images
  • scdf sea oil spill exercise
    Para pegawai SCDF dalam sebuah latihan bersama pihak Malaysia. (Gambar: Mediacorp)

S'pura, M'sia anjur latihan tangani tumpahan kimia di laut

SINGAPURA: Apakah kesannya jika berlaku perlanggaran di laut yang menyebabkan 500 tan benzena tumpah di perairan Singapura?

Tumpahan kimia pada skala sedemikian di timur Selat Johor adalah antara senario yang pihak berkuasa Singapura dan Malaysia sedang bersiap sedia melalui latihan bersama yang diadakan pada hari ini (12 Jul).

Tujuh kapal dan 50 pegawai dari Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dikerahkan untuk menyokong latihan itu. Mereka turut disertai oleh para pegawai dari Jabatan Laut Malaysia (MDM).

Semasa simulasi, para pegawai perlu bertindak dengan pantas setelah sebuah kapal tangki kimia dan sebuah kapal lain berlanggar di perairan dekat Pulau Ubin, menyebabkan tumpahan kira-kira 500 tan benzena di laut. Benzena adalah sejenis cecair yang tidak berwarna dan sangat mudah terbakar.

Latihan itu juga menunjukkan bagaimana pihak berkuasa akan bertindak jika penduduk dan petani di kawasan berdekatan terjejas dengan bau seperti gasolin yang disebabkan oleh tumpahan itu, menurut pihak berkuasa dalam kenyataan medianya hari ini.

Benzena bersifat karsinogenik dan sesiapa yang terhidunya boleh mengalami pening kepala dan sakit mata, kulit dan menjejas saluran pernafasan, menurut kenyataan media itu lagi.

Di bawah pelan respons kecemasan bersama, MPA akan bekerjasama dengan MDM untuk memantau dan kerja-kerja pembersihan.

NEA pula akan bekerjasama dengan Jabatan Sekitaran Johor untuk memantau mutu udara dan air dan menyelaraskan usaha pembersihan di kawasan pantai yang terjejas.

Semasa latihan itu, kedua-dua pihak Singapura dan Johor mempamerkan kecekapan operasi pembersihan, kegiatan mengawal wap dan usaha memantau sekitaran.

Para pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) juga memindahkan anak kapal yang "cedera" dari kapal tangki kimia tersebut. Ini disusuli dengan prosedur dekontaminasi di kapal SCDF.

"Memandangkan tumpahan kimia atau minyak bersifat rentas sempadan, maka penting bagi kita untuk kerap menjalankan latihan dua hala dengan negara-negara jiran untuk mengukuhkan keupayaan berbilang agensi di peringkat serantau," kata ketua eksekutif MPA Andrew Tan.

Dilancarkan pada 2014, latihan setiap dua tahun itu adalah sebahagian daripada program kerjasama dua hala di bawah Jawatankuasa Bersama Malaysia-Singapura Mengenai Sekitaran.

- CNA/KN/tq

Top