Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura lancar bank derma susu ibu yang pertama

Dengan pelancaran itu, Singapura menyertai sekitar 40 negara yang mengendalikan bank susu rasmi.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura lancar bank derma susu ibu yang pertama

Mantan Speaker Parlimen Halimah Yacob melancarkan program bank susu badan hari ini (17 Ogos). (Gambar: Monica Kotwani)

Diterbitkan : 17 Aug 2017 12:08PM Dikemas Kini : 17 Aug 2017 12:12PM

SINGAPURA: Para ibu yang tidak dapat memberikan susu yang secukupnya bagi bayi pramatang atau bayi yang sakit kini boleh mendapatkan bekalan susu ibu yang selamat, dengan pelancaran projek perintis selama tiga tahun bagi bank derma susu badan yang pertama di Singapura.

Program itu, satu kerjasama Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan Yayasan Temasek Cares, dilancarkan mantan Speaker Parlimen Halimah Yacob hari ini (17 Ogos).

Yayasan itu sudah memperuntukkan S$1.37 juta bagi bank susu berkenaan, yang akan mengumpulkan, memeriksa, memproses dan menyimpan susu badan daripada para ibu yang menderma.

Dalam satu kenyataan media bersama, KKH dan yayasan itu menyatakan ia berharap dapat merekrut 375 ibu yang bersedia mendermakan susu badan.

Mereka perlu menjalani proses pemeriksaan yang "rapi", yang termasuk pemeriksaan bagi penyakit seperti HIV, Hepatitis B dan C dan syphilis.

Program itu dijangka memanfaatkan sekitar 900 bayi yang menerima jagaan neonatal di KKH, Hospital Besar Singapura dan Hospital Universiti Nasional dalam tempoh tiga tahun.

Menurut kenyataan tersebut, sekitar 350 bayi "yang dilahirkan dengan berat badan yang rendah" menerima jagaan rapi neonatal di hospital-hospital awam tempatan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan para ibu menyusukan bayi mereka bagi enam bulan pertama kerana ia adalah sumber penting pemakanan dan antibodi yang meningkatkan sistem daya tahan.

Menurut para pakar, susu badan penting bagi bayi pramatang, yang berisiko dijangkiti dengan penyakit dikenali sebagai necrotising enterocolitis.

Namun, para ibu bayi pramatang memerlukan beberapa hari atau minggu sebelum tubuh mereka dapat menghasilkan bekalan susu yang mencukupi.

KKH menambah sehingga 80 peratus bayi sakit di unit jagaan rapi neonatal dan wad jagaan khas kanak-kanak perlu meminum susu tepung bagi bayi pramatang kerana ibu mereka tidak dapat menghasilkan susu badan yang mencukupi.

Dengan pelancaran itu, Singapura menyertai sekitar 40 negara yang mengendalikan bank susu rasmi. 

Sumber : CNA/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan