Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura kekal kedudukan jalur lebar tetap terpantas di dunia

Singapura mengekalkan kedudukan teratas bagi kelajuan khidmat jalur lebar tetap yang terpantas di dunia bagi kali ke 12 berturut-turut, menurut satu indeks ujian kelajuan yang diterbitkan bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
S'pura kekal kedudukan jalur lebar tetap terpantas di dunia

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 13 Aug 2018 06:00PM Dikemas Kini : 13 Aug 2018 06:08PM

SINGAPURA: Singapura mengekalkan kedudukan teratas bagi kelajuan khidmat jalur lebar tetap yang terpantas di dunia bagi kali ke 12 berturut-turut, menurut satu indeks ujian kelajuan yang diterbitkan bulan lalu.

Singapura mengatasi 132 negara dan kawasan lain dalam Indeks Global Ujian Kelajuan Ookla pada Julai, dengan kelajuan muat turun purata 181.47 Mbps. Ini lebih tiga kali ganda kelajuan purata antarabangsa 46.41 Mbps.

Hong Kong menduduki tempat kedua terpantas buat kali kedua berturut-turut pada kelajuan 145.65 Mbps, mendahului Iceland, Romania dan Korea Selatan yang masing-masing menduduki tempat ketiga, keempat dan kelima. Tanah besar China menduduki tempat ke 19, jatuh dua tangga berbanding bulan sebelumnya.

Ujian kelajuan berkenaan merupakan ujian bulanan yang dilakukan oleh Ookla, sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat yang menganalisa dan menguji kelajuan internet.

Hasil indeks itu berdasarkan ujian kelajuan menerusi wadah Speedtest.net oleh Ookla, yang memaklumkan pengguna kelajuan muat turun dan muat naik khidmat internet yang mereka gunakan.

Meskipun demikian, Singapura ditempatkan di tempat ke-29 dari segi kadar penembusan jalur lebar iaitu 26.1 peratus. Ini berbanding 31.6 peratus bagi Hong Kong, yang menduduki tempat ke-20, menurut data yang dikumpulkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa.

Bagi internet mudah alih pula, Singapura menduduki tempat keempat di belakang Qatar, Norway dan Amiriah Arab Bersatu yang masing-masing menduduki tiga tempat teratas bagi ujian Ookla. Singapura mencatat kelajuan purata muat turun 52.84 Mbps, lebih tinggi berbanding kepantasan purata antarabangsa 22.81 Mps.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan