Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura duduki tempat pertama dalam ranking bandar bijak dunia

Singapura menduduki tempat pertama dalam senarai bandar bijak dunia berdasarkan ranking Juniper Research.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Mar 2018 01:33PM Dikemas Kini : 13 Mar 2018 10:51PM

SINGAPURA: Singapura menduduki tempat pertama dalam senarai bandar bijak dunia berdasarkan ranking Juniper Research.

Indeks Prestasi Bandar Bijak Global 2017 yang didedahkan pada Isnin (12 Mac) memaparkan senario dalam empat bidang - mobiliti, kesihatan, keselamatan dan daya penghasilan - bagi mengkaji manfaat inisiatif-inisiatif bandar bijak untuk para penduduk di 20 bandar.

Ia bermatlamat mengukur bagaimana teknologi membantu para penduduk menjimatkan masa dan meningkatkan mutu kehidupan mereka.

Singapura mengungguli indeks tersebut bagi kesemua empat bidang, mendahului bandar-bandar utama seperti San Francisco, Seoul, London dan New York dalam kajian yang dibiayai oleh syarikat teknologi, Intel.

Kajian tersebut dijalankan dari Julai hingga September tahun lalu.

Laporan itu turut menarik perhatian bahawa Singapura memanfaatkan "huraian trafik yang bijak" di samping dasar kukuh yang berupaya mengawal pemilikan kereta, dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.

Laporan berkenaan juga menarik perhatian mengenai tumpuan Singapura terhadap usaha menangani peruntukan khidmat jagaan kesihatan bagi rakyat warga tua menerusi pelbagai teknologi, termasuk platform khidmat digital dan alat-alat mudah alih.

Bagi bidang keselamatan pula, laporan itu menarik perhatian bahawa Singapura sudah menjalankan ujian menggunakan pemantauan video bijak untuk mengesan kegiatan jenayah.

Selain itu, Singapura juga mendahului usaha memberikan rakyat akses kepada khidmat digital dan maklumat bandar dengan wujudnya "pangkalan data yang besar dan terbuka" serta "strategi-strategi bagi merangsang daya inovasi privet" menerusi sekitaran ujian yang lebih tertumpu, menurut laporan itu.

"Para penganalisis sering menumpukan perhatian kepada aspek teknikal dalam membina teknologi yang berteraskan data," kata Windsor Holden, ketua ramalan dan perunding di Juniper Research. "Kita tidak boleh mengabaikan pentingnya manfaat sebenar terhadap manusia yang dimiliki oleh bandar-bandar bijak. Masyarakat yang saling tersambung, serta khidmat-khidmat dan proses perbandaran mempunyai kesan besar terhadap mutu kehidupan rakyat."

Menurut Intel, "bandar-bandar bijak" memanfaatkan teknologi-teknologi Internet of Things seperti sensor, meter dan lampu yang bersepadu untuk mengumpul dan menganalisis data bagi meningkatkan prasarana dan khidmat awam.

Kajian itu menarik perhatian bahawa inisiatif "Negara Bijak" Singapura dan kedudukannya sebagai sebuah bandar menjadikan negara ini unik dalam keupayaannya untuk melaksanakan gagasan sebuah bandar bijak.

Singapura juga dipuji atas transformasinya yang pantas sejak merdeka dan ia digunakan sebagai contoh yang boleh dipelajari oleh bandar-bandar lain," menurut Intel dalam kenyataan media pada Selasa (13 Mac). 

Sumber : CNA/AI/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan