Images
  • Singapore

S'pura di kedudukan baik untuk sokong pembangunan serantau

SINGAPURA: Sektor kewangan Singapura berada di kedudukan yang berupaya menyokong pembangunan serantau, sedang pusat ekonomi beralih semula ke rantau Asia. Ini menurut Menteri Kewangan Heng Swee Keat dalam ucaptamanya di Sidang Asian Insights DBS pada Jumaat (13 Jul).

Encik Heng berkata bahawa Singapura sudah bersedia untuk membantu dalam bidang prasarana dan pembiayaan dana perusahaan, serta terhadap penggunaan khidmat kewangan digital di seluruh rantau ini.

Menurut beliau lagi, Singapura beruntung kerana berada di lokasi strategik di rantau berpotensi menjana pertumbuhan yang kukuh.

Merujuk kepada penubuhan Pejabat Prasarana Asia pada April tahun ini, Encik Heng berkata bahawa Singapura akan dapat memanfaatkan rangkaian kolektif agensi sektor awam, firma sektor swasta dan pihak berkepentingan utama untuk meneroka cara yang lebih baik bagi memenuhi keperluan infrastruktur Asia.

Satu lagi contoh ialah Perbincangan Meja Bulat Prasarana Asia-Singapura yang akan diadakan pada bulan Oktober.

Mengenai pembiayaan untuk syarikat-syarikat perusahaan, Encik Heng berkata bahawa Singapura sedang berusaha untuk berfungsi sebagai sebuah pusat global teknologi, inovasi dan pembangunan perusahaan.

Encik Heng turut memberi contoh bagaimana Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sudah mengubah peraturan-peraturan untuk memudahkan pertumbuhan pusat kapitalis dan bagaimana pemerintah sedang bekerjasama dengan industri untuk mewujudkan platform pembiayaan pasaran swasta untuk syarikat-syarikat mendapatkan akses yang lebih baik bagi mendampingi para pelabur.

Akhir sekali, Singapura juga boleh membantu menggalak penggunaan khidmat kewangan digital, yang berupaya menyaksikan peningkatan akses kepada khidmat kewangan yang yang sebelum ini mungkin kurang dimanfaatkan.

"Penggunaan teknologi dan inovasi dapat membantu memudahkan kesinambungan kewangan, yang menjadi keutamaan kami selaku pengerusi ASEAN," kata Encik Heng.

Pentingnya penyertaan digital ditekankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DBS, Piyush Gupta, semasa berucap tentang tema Reimagining Asia 2030 semasa DBS meraikan ulang tahunnya yang ke-50.

Encik Heng menambah: "Sedang kita berkembang dan membangunkan sektor kewangan kita untuk memenuhi keperluan ekonomi, kita mesti menguruskan risiko dengan baik. Di peringkat makro, bagi mengekalkan daya bingkas kita, kita juga mesti bersedia menghadapi gangguan besar dalam pasaran kewangan global."

- CNA/NA/tq

Top