Images
  • workers
    Pekerja binaan dari Bangladesh dan India. (Gambar fail: REUTERS/Edgar Su)

S'pura catat kadar kematian terendah di tempat kerja sejak 2004

SINGAPURA: Kadar kematian di tempat kerja di Singapura tahun lalu adalah yang terendah sejak tahun 2004, menurut kenyataan bersama oleh Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja, Institut WSH dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Selasa (13 Feb).

Sebanyak 42 kematian di tempat kerja dilaporkan tahun lalu, turun dari 66 pada tahun 2016, sekaligus menjadikan kadar kecederaan yang membawa maut sebanyak 1.2 bagi setiap 100,000 pekerja. Ini "kemajuan besar selepas kadar kecederaan maut tidak berganjak pada 1.9 peratus bagi setiap 100,000 pekerja pada tahun 2015 dan 2016, menurut agensi-agensi berkenaan.

Kadar pada 2017 itu juga menepati sasaran yang ditetapkan di bawah Pelan WSH2018, iaitu untuk mencapai kadar kecederaan di tempat kerja kurang 1.8 bagi setiap 100,000 pekerja, dedahnya.

Perangkaan itu juga adalah yang terendah sejak tahun 2004, iaitu data kadar maut yang diperolehi dengan perbandingan setara.

Menurut kenyataan media itu lagi, jumlah di tempat kerja dan kejadian berbahaya juga berkurangan tahun lalu, berbanding tahun sebelumnya.

Kecederaan maut turun bagi pelbagai sektor, termasuk binaan, pengangkutan dan penyimpanan, pengeluaran, marin serta pembersihan dan penyenggaraan landskap.

Meskipun insiden berkaitan kenderaan, kes jatuh dan berkaitan mesin masih menjadi punca utama kecederaan maut pada tahun 2017, jumlah kes tersebut juga merosot kepada 29 berbanding 45 pada tahun 2016.

Insiden sedemikian juga "penyumbang utama bagi kecederaan parah", menurut agensi-agensi itu, sambil menyatakan "MOM akan terus memberikan tumpuan untuk mengurangkan insiden kenderaan, serta insiden jatuh dan berkaitan mesin sebagai bidang yang menjadi keutamaan pada tahun 2018".

Jumlah penyakit pekerjaan melonjak dari 732 kes pada tahun 2016 kepada 799 pada tahun 2017. Kenaikan ini "disebabkan jumlah lebih tinggi gangguan otot skeletal berkaitan tempat kerja (WRMSD), kurang daya pendengaran disebabkan bunyi bising dan insiden penyakit kulit dari tempat kerja (NID).

Menurut kenyataan media itu lagi, MOM akan meningkatkan program yang disasarkan bagi mencegah berlakunya penyakit di tempat kerja. Usaha-usahanya termasuk pengurangan bunyi bising yang keterlaluan, meningkatkan ergonomik dan mengukuhkan pengurusan kimia berbahaya di tempat kerja.

Sambil memberikan komen mengenai jumlah lebih tinggi penyakit di tempat kerja, pengarah eksekutif Institut WSH Dr Gan Siok Lin berkata: "Perlu untuk menguruskan kesihatan di tempat kerja dengan cara serupa bagaimana kami mengendalikan keselamatan di tempat kerja. Kesihatan menjejas keselamatan dan keselamatan juga menjejas kesihatan. Oleh itu, syarikat harus mengambil pendekatan bersepadu bagi meningkatkan kedua-dua keupayaan keselamatan dan pengurusan kesihatan."

Kenyataan media itu turut mendedahkan sekitar 16,000 pemeriksaan dijalankan pada tahun 2017. Pada tahun itu, sebanyak 71 arahan berhenti kerja, lebih 1,200 denda dan lebih 9,000 notis tidak mematuhi arahan dikeluarkan. Rentak operasi penguatkuasaan dan pendampingan akan diperhebat pada tahun 2018, dedahnya.

Meskipun "hasil keseluruhan menggalakkan, kami tidak boleh memandang ringan," kata pengurus besar Majlis WSH Patrick Han.

- CNA/IM/im

Top