Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

S'pura bakal bina terumbu karang buatan 'terbesar' di Pulau Sekijang

Terumbu batu karang buatan manusia yang terbesar di Singapura akan dibina di Taman Marin Pulau Sekijang menjelang hujung tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 May 2018 03:23PM Dikemas Kini : 17 May 2018 10:25PM

SINGAPURA: Terumbu batu karang buatan manusia yang terbesar di Singapura akan dibina di Taman Marin Pulau Sekijang menjelang hujung tahun ini.

Demikian diumumkan Lembaga Taman Negara (NParks) dan JTC hari ini (17 Mei).

Projek itu akan melibatkan struktur batu karang buatan yang dibina di luar kawasan berkenaan. Ia kemudian akan diturunkan ke dalam kawasan perairan Pulau Sekijang. Jumlah struktur bergantung kepada reka bentuk muktamad.

Setinggi 10 meter, atau sama dengan tinggi rumah teres tiga tingkat, struktur itu akan memenuhi seluruh kolum air - dari paras permukaan hingga dasar laut. Sebagai langkah memelihara alam sekitar bawah permukaan air, tiada kerja-kerja besar akan dijalankan, menurut NParks dan JTC.

Kawasan di mana struktur-struktur tersebut diletakkan hanya akan ditentukan selepas berbincang dengan beberapa agensi pemerintah yang berkaitan, pakar serta Rakan Masyarakat Taman Marin

Dijangka menyumbang kawasan terumbu seluas 500 meter persegi di Taman Marin, projek itu juga sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki habitat semula jadi yang sedia ada dan pemuliharaan terumbu karang.

Buat masa ini, lebih 250 jenis batu karang ditemui di kawasa perairan Singapura, yang membentuk lebih 30 peratus spesies batu karang di dunia.

Projek itu juga bakal membuka peluang untuk menjalankan inisiatif-inisiatif penyelidikan, sebagai tapak uji untuk teknologi baru.

JTC menyatakan ia berharap untuk bekerjasama dengan NParks bagi menggandakan kawasan batu karang buatan yang sedia ada di Pulau Sekijang untuk membina sebuah kawasan batu karang seluas seribu meter persegi menjelang 2030. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan