Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Robot angsa 'dilepaskan' di kolam-kolam air, bantu pantau mutu air S'pura

Lima robot angsa akan digunakan di beberapa kolam air untuk memantau mutu air mentah di Singapura. Demikian diumumkan agensi air kebangsaan PUB hari ini (15 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jan 2018 03:03PM Dikemas Kini : 15 Jan 2018 10:16PM

SINGAPURA: Lima robot angsa akan digunakan di beberapa kolam air untuk memantau mutu air mentah di Singapura. Demikian diumumkan agensi air kebangsaan PUB hari ini (15 Jan).

Robot-robot yang dinamakan Rangkaian Penilaian Air Bijak (SWAN), menggunakan teknologi pemantauan air untuk mengumpul data dalam masa nyata. Ia direka untuk menyerupai angsa betul supaya tidak kelihatan janggal dalam sekitaran sekelilingnya.

Robot-robot itu hasil kerjasama PUB, Institut Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Nasional Singapura (NUS), dan Institut Sains Marin Tropika. SWAN sudah diuji pada 2016 untuk menilai keupayaannya dalam pengumpulan sampel dan navigasi serta penggunaan kuasanya.

Ia merupakan salah satu huraian teknologi PUB untuk lebih memahami keadaan kawasan takungan air dan meningkatkan mutu air mentah.

Robot-robot angsa itu akan dilepaskan di kolam air Marina, Punggol, Serangoon, Pandan dan Kranji. Menurut PUB lebih banyak data perlu dikumpulkan dari kawasan takungan air lebih baru seperti Marina, Punggol dan Serangoon, untuk lebih memahami keadaan kolam-kolam air tersebut.

Bagi Kranji dan Pandan pula, banyak alga didapati berkembang biak dalam keadaan cuaca panas. Oleh itu, PUB menyatakan bahawa ia perlu memantau mutu air dengan lebih teliti.

Mediacorp pertama kali melaporkan ujian-ujian yang dijalankan pada Julai 2015. Ketika itu, pasukan NUS mengatakan bahawa mereka sudah melakarkan konsep robot tersebut pada 2010. Namun, ia hanya mula menguji robot-robot tersebut pada 2014.

Semasa ujian dijalankan, robot-robot angsa itu digunakan untuk memantau pelbagai campuran fizikal dan biologi pada air tawar termasuk bacaan pH, kandungan oksigen dan klorofil untuk menentukan sama ada terdapat sebarang masalah pada sumber air.

Buat masa ini, penguasa air di sini berdepan dengan cabaran logistik untuk mengumpul sampel dari kawasan takungan air yang besar. Ini selalunya dijalankan dengan menggunakan bot. Pendekatan itu memakan masa dan memerlukan tenaga kerja yang besar selain menyekat keupayaan pihak berkuasa untuk cepat bertindak sekiranya berlaku penularan atau pencemaran air.

Robot-robot yang digunakan akan bergerak melalui kawasan-kawasan tertentu di kolam-kolam air dan menghantar data menggunakan teknologi tanpa wayar. Robot-robot itu juga boleh dikawal dari jarak jauh, namun matlamatnya adalah memastikan ia dapat beroperasi sendiri dan hanya memerlukan pemantaun dan operasi asas, yang boleh dilakukan dari mana sahaja menggunakan Internet.

Menurut pasukan yang menghasilkan teknologi tersebut,SWAN tidak mudah rosak meskipun dilanggar bot kecil.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan