Images
  • ketupathon main
    Dr Mohd Maliki Osman menganyam ketupat. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina)

Rekod S'pura Dicatat: 4,000 ketupat dianyam dalam maraton ketupat AP Melayu

SINGAPURA: Projek Amal Ketupat-thon berjaya memecahkan Buku Rekod Singapura dengan menganyam sekitar 4,000 ketupat!

Inisiatif itu diusahakan 11 Anggota Parlimen Melayu dengan sokongan 600 sukarelawan daripada pelbagai latar belakang.

Semua ketupat itu akan dijual dengan hasilnya diderma kepada Tabung Amal Aidilfitri (TAA).

Bermula dari jam 6.00 pagi lagi, sekitar 600 relawan dari pelbagai badan akar umbi dan latar belakang, hadir di Wisma Geylang Serai untuk menganyam ketupat.

Setiap ikat yang mengandungi sebanyak 25 biji ketupat itu, dijual pada harga $7 bagi tujuan mengumpul dana untuk TAA. Sasarannya adalah untuk mengumpulkan $15,000 demi membantu keluarga kurang berkemampuan, termasuk pesakit kronik.


Dana itu turut mendapat suntikan derma lebih $36,000 oleh 11 Anggota Parlimen Melayu menerusi sumbangan peribadi masing-masing.

"Setiap tahun, Anggota Parlimen mengumpul dana untuk memberikan kepada mereka yang memerlukan.

"Tahun ini, Alhamdulillah, bukan sahaja kami mengumpul dana tapi kami juga menggalakkan penderma yang lain untuk bersama-sama kami sekaligus membuat acara amal kelab Ketupathon untuk mengumpul dana dan memberikan kepada Tabung Amal Aidilfitri," kata Penasihat MESRA, Encik Masagos Zulkifli, yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohd Maliki Osman pula melahirkan rasa bangga kerana para pesertanya bukan setakat anggota masyarakat Melayu, malah juga yang bukan Melayu/Islam.


"Menunjukkan bagaimana keadaan di Singapura ini di mana masyarakat berbilang kaum dapat sama-sama menjayakan sesuatu acara yang khusus dari segi 'heritage' ataupun kita punya warisan," ujar Dr Maliki yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Wisma Geylang Serai.

Bagi AP GRC Jurong pula, acara Ketupathon itu adalah satu simbol bagaimana masyarakat tempatan jika kita bergabung, jika kita bersatu, kita dapat melakukan sesuatu yang amat luar biasa dan menarik.

"Dan saya rasa yang menarik juga dan yang indah hari ini adalah kita juga dapat melibatkan ramai daripada bangsa lain yang juga turut serta, turun padang membantu kita belajar membuat ketupat," kata beliau lagi. 

- BERITRAMediacorp/na

Top