Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rangkaian sosial mesti bersikap terbuka, tidak eksklusif, tidak bentuk siling kaca

Bagaimanakah seseorang mengetahui sama ada sistem meritokrasi Singapura berkesan?

Anggaran Waktu Membaca:
Rangkaian sosial mesti bersikap terbuka, tidak eksklusif, tidak bentuk siling kaca

Para pekerja di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 17 May 2018 12:44AM Dikemas Kini : 17 May 2018 12:48AM

SINGAPURA: Bagaimanakah seseorang mengetahui sama ada sistem meritokrasi Singapura berkesan?

Dalam ucapannya semasa perbahasan Ucapan Presiden di Parlimen hari ini (16 Mei), Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata terdapat empat tanda:

Apabila setiap kanak-kanak mempunyai permulaan kehidupan yang baik, tidak mengira latar belakang keluarga; apabila setiap bakat diiktiraf dan diasah sepenuhnya; apabila setiap peluang terbuka kepada sesiapa yang mempunyai sikap dan keupayaan yang betul; dan apabila seseorang yang berkebolehan tidak mengalami banyak halangan sosial untuk diterima, untuk menyumbang dan memimpin masyarakat.

Sungguhpun demikian, aspek keempat adalah yang paling sukar untuk bertahan bagi jangka panjang, tambah PM Lee.

"Kami mahu masyarakat Singapura mengekalkan rasa santai dan setaraf, di mana masyarakat dapat berinteraksi secara bebas dan selesa secara setara dan tiada perbezaan status yang beku atau halangan-halangan yang mencegah individu-individu yang berkebolehan (daripada maju)," kata beliau.

Ini, bagaimanapun, di luar keupayaan Pemerintah untuk melakukannya sendirian. Masyarakat perlu terbuka dan ada kemampuan menyerap sikap tersebut, kata PM Lee.

Masyarakat juga perlu menyedari tanda-tanda yang menunjukkan atau membawa kepada perbezaan status, seperti bahasa dan gaya hidup yang menjadi pilihan, tambah beliau.

"Kita mestilah jangan menggalakkan orang ramai menunjuk-nunjukkan kelebihan sosial mereka," kata PM Lee. "Kita haruslah jangan menerima mereka yang menunjuk-nunjukkan kekayaan dan status (mereka), atau lebih buruk lagi, memandang rendah terhadap orang lain yang kurang berada dan mempunyai kelebihan."

"Kita seharusnya menekankan persamaan kita dan bukan menyerlahkan perbezaan kita."

KUMPULAN-KUMPULAN ELIT TIDAK HARUS DIBENARKAN

PM Lee juga menyentuh isu kumpulan-kumpulan elit yang menjadi eksklusif dan menghalang orang lain daripada menyertainya.

Beliau berkata setiap masyarakat ada kumpulan elit masing-masing dan mereka memegang jawatan kepimpinan dalam kalangan masyarakat, sama ada dalam pemerintah, akademik, perniagaan atau sebagai karyawan.

Mereka berkongsi latar belakang, kepentingan dan ruang sosial yang sama dan mungkin merupakan alumni sekolah yang sama, pernah mengendalikan perniagaan bersama atau bertugas dalam kerjaya yang sama, tambah PM Lee.

Rangkaian sosial seperti itu adalah "struktur semula jadi" dalam masyarakat dan berguna untuk masyarakat saling mengenali antara satu sama lain, melaksanakan sesuatu secara bebas dan ada rasa tanggungjawab kolektif bagi masyarakat, ujar PM Lee.

"Namun rangkaian-rangkaian sosial mesti sentiasa bersikap terbuka dan boleh menerima (yang lain)," tegas beliau. "Ia tidak boleh tertutup; ia tidak seharusnya membentuk siling kaca."

Beliau menambah: "Seharusnya tidak sukar atau mustahil bagi orang lain yang berbakat atau berkebolehan. Namun kekurangan latar belakang yang sesuai serta hubungan tertentu (membuatkan mereka sukar) untuk diterima masuk ke dalam kumpulan elit dan maju."

Merujuk kepada Institusi Raffles (RI), PM Lee berkata Menteri Pendidikan Ong Ye Kung pernah berkongsi dengannya bahawa sekolah popular di Singapura itu, meski mempunyai tradisi menerima penuntut dari latar belakang yang pelbagai, kini menjadi semakin kurang rencam.

Pengetua sekolah itu menangani isu tersebut dengan bercakap kepada para ibu bapa pelajar berpotensi di sekolah-sekolah rendah di merata Singapura untuk menggalak mereka menyertai RI. Namun sebahagian ibu bapa enggan melakukannya, menurut PM Lee.

Ini bukanlah kerana anak mereka tidak mampu mengikuti tuntutan akademik di RI. Sebaliknya ia disebabkan rasa khuatir andainya anak mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan para pelajar lain yang lebih berada, tambah beliau.

Namun "kebimbangan ini sebenarnya tidak berasas", kata PM Lee, memandangkan para penuntut RI datang dari latar belakang yang pelbagai dengan lebih separuh - atau 53 peratus - menetap di perumahan awam.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan akan bekerjasama dengan mereka dan sekolah-sekolah popular lain untuk memastikan mereka tidak menjadi kumpulan-kumpulan yang tertutup dan terus-menerus demikian.

Selain itu, langkah-langkah seperti menetapkan tempat di sekolah-sekolah rendah tertentu bagi kanak-kanak tanpa hubungan khas dengan sekolah berkenaan dan PM Lee berkata Pemerintah "akan melakukan lebih banyak lagi jika perlu".

PM Lee juga berkata Pemerintah Singapura tidak hanya memandang kepada satu-satu ideologi dan sebaliknya bersikap pragmatik. Pemerintah katanya, sanggup mencuba apa saja yang boleh demi mempertingkat mobiliti sosial. Namun ia juga "mesti realistik".

Cadangan-cadangan seperti pendapatan asas universal dan menghapuskan PSLE juga sudah dikemukakan sebelum ini, kata beliau, namun ia "belum terbukti di mana-mana" sekalipun dan "sukar dilakukan". Malah, para pendidik dan ibu bapa mempunyai pandangan yang sangat berbeza-beza.

Pada akhirnya, Pemerintah "mesti memberi tumpuan kepada dasar-dasar yang praktikal dan berkesan", kata beliau.

PEMBANGUNAN NEGARA "ADALAH USAHA BERTERUSAN"

Berhubung perpaduan sosial, PM Lee berkata Singapura menunjukkan "banyak kemajuan" dalam pembangunan negara sepanjang tempoh 50 tahun yang lalu dan negara ini lebih bersatu sekarang. Tetapi ia adalah usaha beterusan kerana adanya pengaruh-pengaruh yang menghalakan rakyat Singapura ke arah berbeza-beza "tidak pernah hilang".

Soal kaum, bahasa dan agama adalah "garis pemisah yang berterusan", kata PM Lee.

Contohnya, pengaruh China dan India ke atas kumpulan-kumpulan etnik di sini berterusan sedang negara-negara berkenaan terus menjadi lebih berpengaruh. "Ia akan mengambil masa sangat panjang sebelum kita menjadi kebal kepada pengaruh etnik, budaya dan ekonomi mereka," kata beliau.

Oleh itu, negara ini mesti berusaha membina jambatan dalam aspek-aspek tersebut serta antara kumpulan-kumpulan berbeza dalam kalangan masyarakat seperti antara kesatuan-kesatuan dengan pihak pengurusan, serta antara warga lama dengan yang baru.

Mengulas tentang warga lama dan warga baru, PM Lee berkata para pendatang adalah "sebahagian" daripada sejarah dan identiti Singapura dan negara ini memerlukan jumlah kemasukan para pendatang yang stabil ke sini untuk menambah jumlah penduduk.

Namun pendatang generasi pertama akan sentiasa mengambil masa untuk menyesuaikan diri dan memahami nuansa budaya dan perwatakan rakyat Singapura - sebagaimana dilakukan generasi pertama rakyat Singapura, kata beliau.

"Para pendatang baru itu sudah memilih untuk menjadikan Singapura tempat tinggal mereka dan akan menyumbang kepada negara kita, masyarakat kita. Mereka perlu berusaha untuk bergaul dan berinteraksi dengan semua orang," kata PM Lee.

"Kita pula, perlu mengalu-alukan kedatangan mereka, kita harus menyokong mereka dalam perjalanan mereka menjadi rakyat Singapura seperti mana orang lain membantu kita dan nenek moyang kita." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan