Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramai tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan sisa elektronik; hanya segelintar kitar semula

Enam daripada 10 penduduk Singapura mungkin membuang barangan lama seperti televisyen lama, mesin pencetak dan komputer kerana  tidak tahu atau kurang pasti bagaimana untuk mengitar semula sisa elektronik (e-sisa) tersebut, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hari ini (19 Jan). 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jan 2018 04:54PM Dikemas Kini : 19 Jan 2018 10:42PM

SINGAPURA: Enam daripada 10 penduduk Singapura mungkin membuang barangan lama seperti televisyen lama, mesin pencetak dan komputer kerana tidak tahu atau kurang pasti bagaimana untuk mengitar semula sisa elektronik (e-sisa) tersebut, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hari ini (19 Jan).

Demikian antara hasil kajian yang dilakukan untuk mengenal pasti cabaran dalam pengurusan e-sisa di Singapura dan memberikan panduan kepada agensi tersebut dalam mewujudkan sistem pengurusan sisa elektronik di Singapura.

Kajian tersebut dijalankan antara April 2016 hingga Oktober tahun lalu.

HANYA SEGELINTIR SISA ELEKTRONIK DIKITAR SEMULA

Singapura menghasilkan lebih 60,000 tan sisa elektronik setiap tahun - sama seperti 220 pesawat Airbus A380.

Daripada jumlah ini, separuh dihasilkan dari rumah, menurut NEA. Setiap orang membuang sekitar 11 kilogram sisa elektronik, sama seperti 73 telefon bimbit.

NEA menyatakan kajian tersebut mendapati meskipun orang ramai biasanya menukar ganti atau menjual sisa elektronik yang bernilai tinggi, seperti telefon bimbit, e-sisa yang lain dibuang begitu sahaja. Bahkan, hanya 6 peratus sisa elektronik dikitar semula manakala lebih suku dibuang.

Barangan besar seperti mesin basuh dan peti sejuk mungkin ditukar ganti melalui pembelian baru tetapi kadang-kala ia dibiarkan di kawasan umum.

Kajian itu turut mendapati peniaga karang guni mengambil sisa elektronik tersebut.

"Ramai daripada mereka tidak mempunyai keupayaan untuk meningkatkan sumber daripada sisa elektronik, dengan itu, hanya komponen bernilai sahaja yang dikitar semula," menurut NEA.

Akibatnya, sisa elektronik yang tidak dikitar semula dibakar, dan hasilnya bukan hanya dari sumber yang boleh dikitar semula, tetapi juga pengeluaran gas karbon yang menyumbang kepada pemanasan bumi dan perubahan iklim.

Agensi itu berusaha untuk meningkatkan program-program kesedaran di kalangan penduduk. Pada 2015, ia menubuhkan Rakan Kerja Relawan Kitar Semula Sisa Elektronik Kebangsaan, di mana proses dan rawatan kitar semula yang betul digunakan.

Namun demikian, langkah tersebut masih lagi terhad dari segi pencapaiannya.

"Satu sistem peraturan diperlukan bagi memastikan para pengguna diberikan cara yang mudah untuk mengitar semula sisa elektronik mereka, dan sisa elektronik yang dikumpul disalurkan ke kemudahan kitar semula dengan piawai keselamatan dan sekitaran ditepati," menurut NEA.

PENGELUAR PERLU ADA KEPENTINGAN DALAM PROSES KITAR SEMULA

Agensi tersebut turut menyatakan bahawa ia merujuk kepada negara-negara yang sudah mempunyai sistem pengurusan sisa elektronik yang mapan bagi membangunkan sistem di Singapura. Negara-negara ini termasuk Jerman, Korea Selatan dan juga bandar seperti New York.

Salah satu ciri yang ada pada negara-negara ini ialah pihak-pihak berkepentingan di seluruh rangkaian sisa elektronik itu mempunyai tanggungjawab bagi memastikan apabila produk mereka tidak dapat digunakan lagi, ia dikitar semula dengan betul.

"Contohnya di New York, pengeluar elektronik membiayai program-program di mana para pengguna boleh mengirimkan sisa elektronik mereka yang kecil kepada syarikat kitar menerusi khidmat pos," menurut NEA.

Di negara-negara Eropah seperti Jerman dan Perancis, pengeluar besar harus menyediakan pusat pengumpulan sisa elektronik di kedai-kedai mereka selain menawarkan khidmat pengumpulan percuma bagi produk-produk sisa elektronik yang besar.

Syarikat-syarikat kitar semula sisa elektronik di negara tersebut juga dikawal dan harus menepati piawai sekitaran yang tinggi, di mana mereka meletakkan sasaran kitar semula dan memberikan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai pengaliran sisa elektronik.

NEA menyatakan sistem-sistem ini sedang dinilai untuk digunakan di Singapura menerusi pelbagai perbincangan.

NEA dan Kementerian Sekitaran dan Sumber Air akan mendapatkan pandangan awam mengenai perkara tersebut menerusi sesi maklum balas yang akan diadakan bulan depan.  

Sumber : CNA/FA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan