Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ramai pemandu berminat beli kereta baru ekoran kejatuhan harga COE

Lebih ramai pemandu melahirkan minat untuk membeli kereta baru selepas premium bagi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kereta kecil menjunam ke paras paling rendah sejak 2010. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih ramai pemandu melahirkan minat untuk membeli kereta baru selepas premium bagi Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kereta kecil menjunam ke paras paling rendah sejak 2010. Demikian menurut empat syarikat penjual kereta yang dihubungi BERITAMediacorp.

Keputusan bidaan terbaru yang didedahkan kelmarin (4 Jul) menunjukkan COE kereta kecil berada di paras $25,000.

Sungguhpun demikian, sebilangan peniaga yang ditemui BERITAMediacorp menasihati para pemandu yang berminat agar tidak tergesa-gesa membuat keputusan untuk membeli kereta baru.

Ini walaupun syarikat-syarikat penjual kereta menawarkan potongan harga bagi memikat para pemandu untuk ke bilik pameran sepanjang hujung minggu ini.

PANTAU DAHULU 2, 3 BULAN

Para peniaga seperti pemilik syarikat Dr Kereta, Ismail Yusof, sebaliknya menggalak para pemandu supaya memantau keadaan pasaran selama beberapa bulan dahulu sebelum membuat keputusan muktamad.

Pemilik syarikat Dr Kereta, Ismail Yusof. 

Pemilik syarikat Dr Kereta, Ismail Yusof. 

Encik Ismail berkata: "Kita lihat dulu keadaan. Mungkin dengan ramai orang yang membeli, permintaan akan naik. Jika permintaan naik secara tidak langsung, harga COE pun akan naik juga. Kita perhatikan pergerakan dalam satu bulan atau dua bulan dahulu dan baru kita buat pertimbangan mengikuti bajet yang kita ada."

Beliau juga berpendapat bahawa kemerosotan pada premium COE mungkin akan meninggalkan beberapa kesan. Ini seperti harga kereta terpakai yang mungkin menjadi lebih murah. Selain itu, harga untuk menghidupkan semula COE sedia ada juga mungkin berkurangan.

FAKTOR CUKAI VES DALAM PEMBELIAN KERETA

Bagi sebilangan pemandu seperti Mohamed Yunos Ahmad, premium COE bagi kereta kecil atau Kategori A yang ditutup pada S$25,000 kali ini adalah satu berita gembira. Ini kerana harga itu adalah yang terendah sejak 10 Mac 2010.

Encik Mohd Yunos Ahmad. 

Encik Mohamed Yunos Ahmad.

Harga COE kali ini bagi kategori A juga merosot sekitar $10,000 berbanding bidaan pada bulan lalu.

Namun, Encik Yunos berkata ada juga beberapa perkara yang perlu diperhatikan oleh para pemandu seperti beliau sebelum membeli kereta baru.

"Pada saya, bila harga COE ini turun, kita berkobar-kobar tetapi kita tengok reaksi sebab mulai 1 Julai ini, cukai Skim Pengeluaran Gas Kenderaan (VES) diadakan. Yang kita nampak itu harga turun $25,000 tetapi kita lupa VES itu macam mana?" kata Encik Yunos.

HARGA KERETA TURUN $3,000-$5,000 SAHAJA

Pendapat beliau itu juga serupa dengan pemerhatian kami yang mendapati bahawa harga kereta baru turun hanya sekitar antara $3,000 hingga $5,000.

Jika mengambil kira peraturan pinjaman, seseorang yang ingin mengambil pinjaman bagi kereta baru perlu membayar wang cengkeram kira-kira $28,000 secara purata.

Perbezaan itu tidak begitu ketara jika dibandingkan dengan tempoh COE sebelum ini, yang memerlukan seseorang pembeli membayar wang cengkeram sebanyak $30,000 secara purata.

COE AKAN JATUH LAGI?

Gambar hiasan. (Gambar: Jason Quah/TODAY)

Gambar fail. 

Selain itu, tinjauan yang dijalankan ke atas beberapa kedai juga menunjukkan bahawa harga COE diramalkan mungkin akan jatuh pada bulan-bulan akan datang.

Sebahagian besarnya disebabkan oleh kelompok kereta yang berdaftaran pada tahun 2008-2009, yang mungkin perlu diluputkan dan ini sekaligus membawa kepada jumlah bekalan COE yang bertambah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan