Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Rakyat S'pura hilang di Gunung Pulai tidak guna laluan biasa, kata polis Johor

Dua rakyat Singapura yang dipercayai sesat di kawasan Hutan Lipur Gunung Pulai dipercayai tidak menggunakan laluan yang biasa digunakan oleh pendaki, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Feb 2018 08:22PM Dikemas Kini : 07 Feb 2018 09:25PM

KULAI: Dua rakyat Singapura yang dipercayai sesat di kawasan Hutan Lipur Gunung Pulai dipercayai tidak menggunakan laluan yang biasa digunakan oleh pendaki, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Sehingga kini,  Dominick Tan Chang Xiang dan Lum Jie, kedua-duanya berusia 27 tahun, masih belum ditemui.

"Setakat ini, belum ada apa-apa petanda yang membawa kepada penemuan mangsa. Bagaimanapun, kami menolak sebarang unsur jenayah," kata beliau di pusat operasi SAR di Kampung Seri Gunung Pulai hari ini (7 Feb).

Datuk Mohd Khalil turut berkata bahawa ramai pengunjung tersasar dari laluan disediakan untuk melihat keindahan flora dan fauna.

"Kawasan ini satu kawasan rekreasi dan sangat popular kalangan warga tempatan dan antarabangsa terutama membabitkan warga Singapura," kata beliau.

Salah seorang daripada mereka, Dominick Tan dipercayai merupakan pendaki yang berpengalaman dan biasa mendaki Gunung Pulai.

Datuk Mohd Khalil berkata bahawa ini merupakan kejadian kehilangan pertama yang melebihi tempoh 48 jam di kawasan Hutan Lipur Gunung Pulai itu.

"Kami tahu mereka ada telefon tetapi tidak dapat dihubungi disebabkan kehabisan bateri. Keadaan cuaca buat masa ini baik membolehkan usaha mencari mangsa dilakukan dengan pembahagian pencarian membabitkan beberapa sektor dan mencari dari sektor ke sektor," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai Mohd Khairi S. Zainudin berkata laluan biasa pendakian dari kaki bukit iaitu berdekatan Kampung Seri Gunung Pulai sehingga ke puncak gunung adalah sepanjang tiga kilometer.

"Jalan utama (kaki bukit) dari lokasi terakhir mangsa (kali terakhir dikesan membuat panggilan kecemasan) iaitu di Bukit 308 kira-kira 1.5 kilometer," kata Encik Mohd Khairi.

Buat masa ini, operasi SAR melibatkan sembilan kumpulan penyelamat dari pelbagai agensi meliputi kawasan pencarian seluas 36 kilometer sekitar Gunung Pulai.

Kedua-dua mangsa dilaporkan memasuki kawasan Gunung Pulai pada sekitar 12.15 tengah hari Isnin lalu (5 Feb) sebelum pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan daripada mangsa kira-kira 5.55 petang pada hari yang sama.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan kali terakhir dapat dihubungi pada 10.00 malam Isnin lalu.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan