Rakyat di luar negara ikuti tayangan langsung upacara persemadian
Rakyat Singapura di luar negara juga tidak ketinggalan memberi penghormatan kepada mendiang Encik Lee Kuan Yew.
SINGAPURA: Rakyat Singapura di luar negara juga tidak ketinggalan memberi penghormatan kepada mendiang Encik Lee Kuan Yew.
Mereka beramai-ramai menonton siaran langsung upacara persemadian mendiang Encik Lee yang ditayangkan di beberapa buah negara.
Lebih 100 orang berkumpul di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur untuk menonton upacara persemadian negara mendiang Encik Lee Kuan Yew.
Auditorium Kedutaan Singapura di Bangkok juga sesak dengan lebih 200 orang yang berkumpul untuk tujuan serupa.
Rakyat Singapura dari merata Thailand datang untuk bersama-sama melahirkan penghormatan kepada mendiang Encik Lee.
Kedutaan Singapura di Manila dihiasi bunga putih sementara hampir 100 pengunjung tiba untuk memberi penghormatan kepada mendiang.
Rakyat Filipina dan Singapura duduk bersama untuk menonton siaran langsung upacara persemadian negara.
Di Hong Kong, lebih 500 orang menyaksikan siaran langsung itu di Central Plaza.
Acara serupa juga dianjurkan Kelab Singapura di Seoul untuk rakyat Singapura yang berada di Korea Selatan.
Di Kedutaan Singapura di Tokyo, lebih 1,500 orang termasuk 90 orang kenamaan telah menandatangani buku takziah untuk Encik Lee sejak awal minggu ini.
Di Beijing, lebih 300 orang berkumpul di sebuah dewan hotel dalam acara yang diadakan oleh Dewan Perdagangan dan Perusahaan Singapura di China.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.