Images
  • upper changi
    Para pekerja asing di Singapura. (Gambar: Najeer Yusof)

Pusat Pekerja Asing bantu lebih 530 pekerja asing bermasalah, sedia bantuan kewangan $500,000

SINGAPURA: Pusat Pekerja Asing (MWC) sudah menggandakan bantuan kewangan kepada pekerja asing yang bermasalah sepanjang tahun ini.

Ini hasil jangkauan lebih luas dan kerjasama dengan Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian.

Pusat tersebut memberikan perkembangan tentang usahanya di sebuah acara sukan untuk pekerja asing hari ini (16 Dis).

Ia diadakan bersempena dengan sambutan Hari Pekerja Asing Antarabangsa, Selasa depan.

Para pekerja asing ini meluangkan hujung minggu di Pusat Rekreasi Terusan di Jurong untuk menyertai pelbagai kegiatan anjuran Pusat Pekerja Asing (MWC).

Tahun ini sahaja, pusat tersebut sudah membantu lebih 530 pekerja asing yang bermasalah dan juga menyediakan bantuan kewangan lebih $500,000.

Bantuan ini adalah seganda berbanding tahun lalu.

Menurut MWC, ini didorong oleh kerjasama dengan Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian dan peningkatan dalam usaha jangkauannya.

Tahun lalu, MWC mempunyai 1,200 duta pekerja asing yang menawarkan nasihat kepada para pekerja asing lain tentang isu-isu pekerja dan sebagainya.

Pusat itu kini melatih lebih 3,000 duta dan merancang untuk meningkatkan jumlahnya kepada 5,000 orang menjelang 2020.

Ternyata duta-duta tersebut adalah jambatan bagi MWC, Kementerian Tenaga Manusia dan para pekerja yang mengalami masalah berkaitan isu pekerjaan.  

- CNA/NU/na

Top