Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Projek JOY 2018 berjaya dampingi 500 keluarga memerlukan; agih habuan, anjur bengkel kemahiran

Seramai 500 keluarga bakal menerima habuan dan berpeluang menyertai bengkel-bengkel kemahiran secara percuma di bawah Projek JOY, iaitu inisiatif tahunan Yayasan MENDAKI.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 500 keluarga bakal menerima habuan dan berpeluang menyertai bengkel-bengkel kemahiran secara percuma di bawah Projek JOY, iaitu inisiatif tahunan Yayasan MENDAKI.

Ia diharap akan dapat membantu para penerima bantuan menimba pengetahuan dan pengalaman yang bermakna.

PENERIMA PULANG NAIK KERETA SPORT!

Saban tahun, Projek JOY menghulurkan habuan kepada keluarga memerlukan dengan sumbangan MENDAKI, syarikat korporat, badan akar umbi dan anggota relawan.

Selain mendapat baucar NTUC bernilai $50 dan barangan runcit bernilai $30 pada tahun ini, para keluarga penerima juga dapat menyertai bengkel-bengkel kemahiran digital dan kewangan.

Yang menarik lagi, mereka juga berpeluang dihantar pulang menaiki kereta-kereta sport dengan kerjasama Sports Car Club Singapore dan Chan's World Holidays pada edisi ke-16 ini.

"Sports Car Club kita sudah terlibat dalam beberapa 'charitable drives', jadi untuk kita dapat peluang untuk bekerjasama dengan MENDAKI ialah satu inisiatif yang saya ingin menolong juga. Jadi Sports Car Club ini, kita bukan hanya memandu kereta, kita ingin membuat kerja-kerja amal juga," kata Encik Aaron Rylan Keder, seorang anggota Sports Car Club Singapore.

Seorang penerima habuan Cik Siti Hasnah Nordin berkata: "Ini kali pertama saya terlibat dalam Project Joy, saya amat bersyukur, anak-anak pun dapat naik kereta sport. Saya rasa keluarga saya bertuah hari ini."

ZAQY: USAHA PELBAGAI KAUM HARAP DATANGKAN PENGALAMAN BERMAKNA

Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berharap usaha pelbagai lapisan masyarakat dan berbilang kaum ini dapat membawa pengalaman yang bermakna buat semua.

"Saya rasa memang baik kita membawa masyarakat yang bukan Melayu bersama kami supaya mereka juga dapat memberi pertolongan dan bantuan. Dan di sini saya rasa bagi anak-anak kami, dan keluarga-keluarga kami, ini memberi mereka pengalaman yang berlainan, yang saya berharap akan memberi mereka inspirasi untuk mencapai sejauh boleh," kata Encik Zaqy.

(Gambar-gambar: BERITAMediacorp/Ruzaini Rashid)

Ini juga adalah kali pertama Encik Zaqy menghadiri acara MENDAKI sebagai timbalan pengerusinya.

Selain beliau, mantan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim dan AP GRC Ang Mo Kio Dr Intan Azura Mokhtar turut menyerikan acara hari ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan