Images
  • lift
    Lif-lif digantikan satu demi satu supaya penduduk masih boleh menggunakan lif lain. (Gambar: Gwyneth Teo)

Program penggantian lif manfaatkan 12,600 keluarga

SINGAPURA: 280 lif akan digantikan lebih awal dari yang dijadualkan di tiga estet perumahan - Sembawang, Woodlands dan Admiralty di bawah Program Penggantian Lif (LRP) Sembawang.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (9 Ogos), majlis bandaran berkenaan menyatakan bahawa seluruh kosnya berjumlah S$33 juta akan dibiayai menggunakan Dana Penggantian Lif (LRP).

"Para penduduk tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi peningkatan ini," tambah majlis bandaran itu.

Lazimnya, lif-lif akan digantikan setiap 28 tahun. Namun, lif-lif di 135 blok dalam tiga estet tersebut sudah beroperasi selama 21 hingga 24 tahun.

Anggota Parlimen GRC Sembawang Amrin Amin berkata lif-lif berkenaan dipilih untuk digantikan lebih awal kerana masih bermasalah meskipun sudah diperbaiki dan disenggara.

280 lif itu membentuk lebih daripada separuh lif yang sudah beroperasi selama sekurang-kurangnya 20 tahun.

"Ini cara paling cermat kerana kebanyakan lif-lif yang akan digantikan sudah beroperasi lebih 20 tahun. Dengan isu-isu penyenggaraan yang kami hadapi, kami ingin menggantikan lif-lif itu supaya penduduk boleh meraih manfaat," kata Encik Amrin.

Keseluruhannya, 12,600 keluarga dijangka meraih manfaat daripada program tersebut.

Program menggantikan lif itu akan mengambil masa dua tahun dan dijangka selesai menjelang Jun 2020. Lif di setiap blok akan digantikan satu demi satu. Menurut majlis bandaran, para penduduk boleh menjangkakan lif-lif mereka digantikan dalam tempoh lapan bulan.

Encik Amrin berkata bahawa program itu merupakan salah satu perbelanjaan paling besar bagi kemudahan seumpama itu.

Apabila siap nanti, lif-lif berkenaan akan mempunyai ruang lebih besar dan mampu menampung 10 orang pada satu-satu masa, berbanding lapan sekarang. Ini juga akan memudahkan lagi bagi para penduduk berkerusi roda.

Lif-lif baru itu juga bergerak lebih pantas, iaitu pada kelajuan 90 meter bagi setiap minit berbanding 60 meter, setanding dengan lif di kawasan perumahan baru. Ia juga bakal memenuhi garis panduan keselamatan terkini seperti yang dibentangkan Penguasa Bangunan dan Binaan.

Majlis Bandaran Sembawang menyatakan bahawa kerja-kerja naik taraf sudah dimulakan sejak bulan lalu bagi blok 677-680 di Woodlands Avenue 6. 

- CNA/AQ/aq

Top