Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Program 'Ops Baca' pupuk minat pelajar melalui pendedahan kepada persembahan visual

Mampukah penghayatan terhadap persembahan visual pupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan mempunyai kesan yang baik dalam penggunaan bahasa mereka?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mampukah penghayatan terhadap persembahan visual pupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan mempunyai kesan yang baik dalam penggunaan bahasa mereka?

Kaedah itulah yang diteroka dalam satu pertandingan sketsa yang diadakan hari ini (15 Apr). Program Ops Baca dianjurkan bagi pelajar sekolah rendah dalam usaha untuk melestarikan penggunaan Bahasa Melayu.

Dalam pertandingan tersebut, murid-murid tidak hanya sekadar membaca tetapi perlu mencari cara untuk menghidupkan watak-watak dalam buku pilihan mereka melalui persembahan sketsa.

RANGSANG KREATIVI SELEPAS MEMBACA

Antara persembahan yang disampaikan kumpulan murid-murid termasuklah kisah tentang seekor singa dan tikus yang dipetik dari sebuah buku berjudul "Tikus Yang Mengenang Budi".

Dengan pendedahan ini, murid-murid diharapkan menjadi pelajar yang lebih suka membaca selain lebih berminat terhadap penggunaan Bahasa Melayu.

"Kami dapati pembacaan kian berkurangan dalam kalangan murid-murid kita. Jadi dengan adanya Program Ops Baca ini, mereka dapat mempersembahkan daya hasil kreativi mereka tentang bacaan mereka dalam bentuk visual," kata Encik Fadial Jamaludin selaku Naib Pengerusi, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Bukit Batok East.

Yang jelas, murid-murid yang terlibat kelihatan seronok dapat meraih pengalaman yang bersifat lebih interaktif di luar bilik darjah.

PERTANDINGAN BERI PELUANG PELAJAR BERINTERAKSI

"Saya belajar menggunakan bahasa Melayu dan peribahasa yang lain dalam lakonan saya. Saya berasa gembira kerana saya boleh bekerjasama dengan kawan-kawan saya," kata Fitrisya Mohar, pelajar Sekolah Rendah Lianhua yang menyertai pertandingan tadi.

Seorang lagi peserta, Zahara Taqiyyah, pelajar Sekolah Rendah Haig Girls, juga akui beliau seronok menimba ilmu bersama teman-teman lain. "Peraduan ini adalah peraduan di mana saya boleh mempelajari dari (murid-murid) sekolah-sekolah lain. Saya berasa sangat gembira dapat berinteraksi bersama mereka," kata Zahara.

GURU, IBU BAPA MAINKAN PERANAN JANGKA MASA PANJANG

Namun demikian tetamu terhormat, Anggota Parlimen GRC Jurong Rahayu Mahzam menekankan perlu ada usaha sama antara para guru dan ibu bapa dalam mengekalkan minat terhadap Bahasa Melayu bagi jangka waktu yang panjang.

"Acara sebegini hanya mampu meningkatkan minat tetapi pada jangka waktu panjang, usaha ibu bapa dan guru-guru harus diteruskan di sekolah dan juga di rumah untuk terus menggalakkan penggunaan bahasa Melayu, menggalakkan anak-anak kita cinta kepada bahasa Melayu dan melakukan kegiatan yang dapat terus meningkatkan kosa kata selain memperbaiki penggunaannya," kata Cik Rahayu.

Program Ops Baca merupakan hasil usaha Majlis Penyalaras Kegiatan-Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (MESRA) dan Kementerian Pendidikan bagi memupuk penghargaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan anak muda. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan