Images
  • AYP
    Timbalan Pengerusi RRG, Dr Mohamed Ali, bersama para belia yang menyertai program AYP. 

Program AYP yang bertujuan tangkis fahaman radikal akan diluaskan tahun depan

SINGAPURA: Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) akan meneruskan Program Kesedaran Untuk Belia (AYP) - yang bertujuan menangkis fahaman radikal - dengan mengambil dua kohort berasingan setiap tahun. Sesi selanjutnya dijadualkan bermula pada Januari dan Julai tahun depan.

Timbalan Pengerusi RRG, Dr Mohamed Ali berkongsi demikian semasa menjawab pertanyaan BERITAmediacorp mengenai rancangan RRG seterusnya bagi program tersebut yang dirintis tahun ini.

Sesi ke-10 dan terakhir bagi kohort sulung AYP berlangsung pada Sabtu (15 Sep), di mana para peserta menerima sijil penyertaan dari Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.

Program itu dijalankan sejak 7 Julai sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang RRG dalam mencegah dan memerangi radikalisme di kalangan para belia. Ia dibuka kepada belia antara usia 15 hingga 25 tahun.

Kohort pertama itu mempunyai hanya 14 peserta. Bagi kohort-kohort selanjutnya program itu, RRG mahu terus memastikan bahawa kumpulan peserta bagi sesi-sesi selanjutnya juga tidak terlalu besar. Hanya 20 belia akan menyertai setiap kohort AYP, kata Dr Mohamed.

"Kita mendekati mereka secara individu dan bukan dalam bentuk ceramah atau seminar. Menerusi pendekatan seperti ini, mereka akan lebih memahami isu tersebut dan juga dapat berinteraksi dengan anggota RRG yang membimbing mereka dengan lebih baik dan efektif lagi," jelas beliau.

APA YANG DIPELAJARI PARA BELIA MENERUSI AYP?

Menerusi sebuah program berstruktur, para peserta berpeluang mendalami ajaran serta nilai-nilai yang dianjurkan oleh Islam di samping menghayatinya dalam konteks masyarakat majmuk di Singapura.

Selain itu, mereka juga didedahkan kepada bahaya ideologi atau fahaman pelampau serta bagaimana untuk menepis hasutan diayah ekstremis dan menyeleweng.

Dr Mohamed berharap program itu bukan sahaja dapat mencegah masalah radikalisme di kalangan para belia tetapi juga memupuk rasa cinta mereka terhadap negara serta masyarakat dari bangsa atau agama lain.

"Kami juga berharap ia dapat membimbing remaja kita untuk menghayati kehidupan dalam konteks kita di sini iaitu konteks masyarakat minoriti dan juga di bawah pemerintahan yang berbentuk sekular," kata beliau lagi.

Selain mengikuti sesi ceramah atau bengkel yang menyentuh topik-topik seperti 'Amalan Islam Moderat' dan 'Hidup dalam Masyarakat Majmuk dan Sekular', para belia juga dapat menyertai dua sesi darmawisata ke Galeri Harmoni dalam Kepelbagaian dan Pusat Warisan MHA.

PARA BELIA AKUR MANFAAT PROGRAM AYP

"Program ini sangat bermanfaat kerana saya dapat mempelajari Islam secara lebih mendalam dan saya rasa belia di Singapura juga dapat memanfaatkan program ini kerana mereka dapat pelajari betapa bahayanya ideologi radikal," kongsi salah peserta AYP, Shamina 'Aaliah Lukman Ali.

Seorang lagi peserta, Dyan Nyrqistina Nurazhar, pula dapat merasakan perubahan positif pada dirinya setelah lebih dua bulan mengikuti AYP.

"Kini saya lebih prihatin dan bertimbang rasa dalam menjalankan kehidupan di Singapura sebagai seorang Muslimah," ujar Dyan.

Encik Amrin menyifatkan program tersebut sebagai satu usaha baik yang sangat bertepatan pada masanya.

"Sekarang adalah masa yang penting di mana kita perlu menonjolkan nilai-nilai murni Islam, nilai-nilai murni masyarakat kita. Jadi saya gembira kita telah mendapat sokongan belia-belia dan keluarga-keluarga dan juga pihak RRG yang telah buat julung kalinya menganjurkan program ini," kata beliau.  

- BERITAmediacorp/NT/ai

Top