Images
  • faishal ecda
    Dr Faishal berinteraksi dengan kanak-kanak di sebuah pusat prasekolah. 

Program ABCD ajak kanak-kanak beri tumpuan kepada penggunaan bahasa, tingkatkan pembangunan kognitif

SINGAPURA: Satu inisiatif baru yang bertujuan memberi lebih banyak sokongan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah, bakal dilancarkan di 16 prasekolah di Singapura.

Program "Pembangunan Kanak-Kanak Berteraskan Abecedarian oleh Temasek Foundation Cares" atau ABCD itu memberi tumpuan kepada penggunaan bahasa.

Ini melalui interaksi yang penuh bermakna antara kanak-kanak dengan orang dewasa.

MANFAAT PROGRAM ABCD

Melalui program ini, kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dapat meningkatkan pembangunan kognitif dan emosi mereka. Ia juga berupaya membina asas yang kukuh supaya mereka mendapat permulaan baik dalam kehidupan.

Program tersebut diterajui oleh Profesor Joseph Sparling dan Profesor Craig Ramey dari Amerika Syarikat. Pendekatan Abecedarian atau AA turut dilaksanakan di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Denmark dan China.

Kajian mendapati kanak-kanak yang menyertai program seumpama ini, mempunyai peluang lebih tinggi untuk menamatkan pengajian di universiti dan mencari perkejaan sepenuh masa.

Pendekatan itu juga akan melengkapkan diri mereka dengan kemahiran sosial dan minda untuk keluar dari lingkaran kemiskinan.

PENINGKATAN KETARA 

Menurut Cik Siti Nur Mustiqah Mohamed Mustafah, seorang guru tajaka di PCF Sparkletots, beliau sudahpun melihat peningkatan sejak melaksanakan pendekatan tersebut.

"Dengan Abecedarian approach, guru boleh menumpukan lebih banyak perhatian kepada setiap murid. Kami dapat lihat, murid-murid juga suka berbual dan berkongsi bersama guru mereka," kata Cik Siti.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak ECDA akan bekerjasama dengan empat prasekolah bagi melatih seramai 60 guru untuk melaksanakan pendekatan tersebut. Ibu bapa juga akan diajar bagaimana untuk memperkukuh pembelajaran anak-anak mereka di rumah.

PENDEKATAN MENYELURUH DALAM PENDIDIKAN KANAK-KANAK 

"Program ini akan memberikan satu lagi ruang bagi kita untuk meneruskan usaha untuk menyediakan khidmat prasekolah yang dimampui, yang bermutu tinggi dan juga di mana semua lapisan masyarakat dan rakyat Singapura boleh mendapat akses," kata Setiausaha Parlimen Kanan Profesor Madya Faishal Ibrahim.

Justeru, tambahnya, dengan kerjasama yang rapat dalam kalangan pengendali prasekolah, guru-guru serta ibu bapa, ia akan membuka lebih banyak peluang bagi semua anak-anak kita untuk mendapatkan permulaan yang baik dalam kehidupan mereka di Singapura.

Temasek Foundation Cares memperuntukkan $1.6 juta bagi membiayai program ABCD itu bagi tempoh tiga tahun akan datang. BERITAMediacorp difahamkan, program itu mungkin diperkenalkan di lebih banyak prasekolah jika ujian perintis ini terbukti berjaya. 

- BERITAMediacorp/aq

Top