Images
  • MOE
    Bangunan Kementerian Pendidikan. (Gambar: Ngau Kai Yan)

Portal Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung dilancarkan bagi permudah proses permohonan

SINGAPURA: Para pelajar yang ingin masuk ke sekolah menengah melalui Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) boleh melakukan demikian secara online mulai tahun depan. Ini bermakna, mereka tidak lagi perlu menyerahkan salinan dokumen-dokumen berkaitan kepada sekolah-sekolah pilihan.

Semasa mengumumkannya hari ini (8 Nov), Kementerian Pendidikan (MOE) menyatakan bahawa ia sedang memperkemas proses permohonan DSA dengan melancarkan sebuah portal khusus untuk tujuan tersebut pada 2019.

Skim DSA pertama kali diperkenalkan pada 2004 bagi membolehkan para pelajar yang mempunyai bakat lain di luar bidang akademik untuk mendapat tempat di sebuah sekolah menengah sebelum menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah.

Para pelajar boleh menggunakan borang yang sama bagi permohonan ke beberapa sekolah lain. Buat masa ini, ibu bapa dan para pelajar perlu menyerahkan salinan permohonan secara berasingan kepada sekolah-sekolah dalam senarai pilihan mereka. Setiap sekolah turut menetapkan tarikh tutup permohonan.

Para pelajar boleh menyerahkan permohonan menerusi portal dengan menggunakan butiran SingPass salah seorang orang tua mereka.

Dengan portal itu, MOE menyatakan garis masa proses pengambilan masuk pelajar bagi semua sekolah akan diselaraskan, kecuali bagi Sekolah Sukan Singapura dan Sekolah Seni Singapura, yang memerlukan para pelajar untuk menyerahkan permohonan secara langsung atas tuntutan kriteria berlainan masing-masing.

Pengambilan masuk pelajar pada tahun depan akan dijalankan bagi tempoh empat minggu mulai 8 Mei hingga 4 Jun.

Melalui permohonan menerusi portal, data rasmi pelajar, termasuk keputusan peperiksaan sekolah dan rekod kegiatan luar darjah - akan dikongsi langsung dengan sekolah-sekolah menengah pilihan pelajar. Ia tidak sahaja memudahkan para pelajar tetapi juga pihak sekolah yang sebelum ini perlu mengesahkan dokumen-dokumen yang diserahkan.

Permohonan melalui portal juga akan ditawarkan secara percuma. Buat masa ini, sebilangan sekolah mengenakan yuran pentadbiran atau yuran ujian, yang boleh mencecah S$50.

Namun, kalau sebelum ini pelajar boleh menyerahkan permohonan sebanyak mungkin, setiap pelajar kini hanya boleh menyenaraikan tiga sekolah pilihan dan tiga bidang yang ingin diceburi. Pelajar boleh memilih sehingga dua bidang luar akademik bagi setiap sekolah yang ingin dimasuki.

MOE menyatakan bahawa had tersebut ditetapkan bagi menggalak para pelajar dan ibu bapa untuk membuat pertimbangan secara teliti dan "mengurus masa dan usaha" dalam pelibatan ujian dan temu duga DSA. Ia menambah, berdasarkan data permohonan pada masa lalu, lebih 90 peratus pelajar menyerahkan permohonan kepada tiga sekolah atau kurang daripada itu.

PERMUDAH PROSES BAGI GALAK LEBIH RAMAI PELAJAR AMBIL BAHAGIAN

Menjelaskan rasional di sebalik pelancaran portal itu, MOE menyatakan bahawa proses permohonan diperkemas bagi menggalak para pelajar untuk memanfaatkan peluang-peluang DSA yang diperluas. Ia menambah bahawa ia berharap dapat mendorong lebih ramai pelajar dengan bakat dan potensi untuk menyertai DSA, tidak kira latar belakang keluarga masing-masing.

Sebelum ini, pada 2017, Encik Ng Chee Meng, yang ketika itu Menteri Pendidikan (Sekolah) mengumumkan jumlah tempat yang ditawarkan di bawah DSA akan dinaikkan. Mulai tahun ini, semua sekolah boleh menerima sehingga 20 peratus kemasukan pelajar (bukan bagi program bersepadu) di bawah DSA. Ini merupakan kenaikan 5 peratus bagi sekolah-sekolah dengan program-program tersendiri, dan 10 peratus sekolah awam.

Hasilnya, lebih ramai pelajar dapat memasuki sekolah menengah di bawah skim ini. Tahun ini, tahun pertama sejak jumlah tempat diperuntukkan dinaikkan, 3,000 pelajar berjaya mendapat tawaran sekolah, berbanding 2,500 pelajar pada 2017.

Berucap di Sidang Pendidikan Seni pada Khamis (8 Nov), Menteri Kedua Pendidikan Indranee Rajah menarik perhatian bahawa proses pemilihan DSA sudah diperhalusi dengan satu set prinsip-prinsip pemilihan, yang bertujuan bagi membantu sekolah-sekolah untuk mengenal pasti bakat terpendam dalam kalangan pelajar.

"Misalnya, semasa pemilihan bagi DSA Seni, sekolah-sekolah akan lebih melihat kepada potensi dan keupayaan pelajar - seperti pengertian mereka terhadap irama musik, ilmu estetika, atau kebolehan untuk menyanyikan sebuah lagu - dan kurang menekankan pencapaian mereka menerusi anugerah yang diterima di Singapura atau luar negara," katanya.

Beliau menambah, semua sekolah, termasuk yang menawarkan Program Bersepadu, sudah memperhalusi proses pemilihan masing-masing bagi mengenal pasti dan mengiktiraf potensi dan bakat-bakat tertentu.

"Satu perubahan baik adalah sekolah-sekolah tidak lagi menitikberatkan keupayaan akademik semasa pemilihan DSA," katanya. "Ini supaya proses dan matlamat sebenar DSA kembali kepada tujuan asal iaitu mengenal pasti bakat pelajar, dan bukan pencapaian akademik."  

- CNA/AQ/aq

Top