Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Portal BERITAMediacorp kini jadi pilihan sumber pembelajaran, penulisan di UniSIM

Portal BERITAMediacorp kini dipilih untuk menjadi sumber bagi pembelajaran penterjemahan dan penulisan laporan berita di kalangan para mahasiswa Universiti SIM (UniSIM). 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Portal BERITAMediacorp kini dipilih untuk menjadi sumber bagi pembelajaran penterjemahan dan penulisan laporan berita di kalangan para mahasiswa Universiti SIM (UniSIM).

Ia satu langkah ke hadapan bagi portal BERITAMediacorp yang juga digunakan sebagai sumber pendidikan bahasa Melayu untuk para pelajar sekolah rendah dan menengah.

Bagaimana kandungan dalam portal BERITAMediacorp membantu pembelajaran para pelajar dewasa?

Para mahasiswa ini sedang menjalani kelas penterjemahan di UniSIM.

Dan sesi kuliah kali ini berkisar pada gaya penulisan pelbagai genre, termasuk laporan berita.

Baru-baru ini, pasukan BERITA telah ke UniSIM untuk memperkenalkan portal BERITAMediacorp kepada para mahasiswa sambilan ini dari kursus Sarjana Muda dalam Pengajian Melayu (BAML).

Selain memahami gaya penulisan laporan berita, para pelajar ini juga boleh menjadikannya sebagai sumber rujukan bagi terjemahan.

Menurut seorang mahasiswa BAML, Encik Mohd Iskandar Sapi: "Jadi salah satu perkara yang amat penting ialah sebagai pelajar yang hendak menterjemah, adalah keperluan untuk memahami konteks berita tersebut. Dan apa yang saya sering lakukan ialah saya akan merujuk kepada portal BERITA untuk mendapatkan konteksnya dalam bahasa Melayu sebelum saya melakukan penterjemahan teks tersebut daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu."

Seorang lagi mahasiswi BAML, Cik Tuti Nur Insyirah, juga memberikan pendapat: "Portal BERITA ini sangat berguna bagi saya kerana ia dapat membantu saya untuk membuat latihan dalam modul terjemahan yang saya ambil di UniSim ini. Saya boleh memilih satu artikel di mana saya perlu menterjemahkannya dalam bahasa Inggeris dan di situ saya boleh membuat latihan."

Pensyarah UniSIM, Cik Hani Mustafa, turut berkata: "Mereka sebenarnya boleh memanfaatkan artikel-artikel yang terdapat dalam portal ini, mereka boleh membaca, memahamkan artikel itu dan kemudian memindahkan kefahaman mereka dengan melakukan terjemahan mereka sendiri, kemudian menyemak dan membandingkan dengan artikel yang ditulis dalam bahasa sumber."

Selain sebagai sumber rujukan, portal BERITAMediacorp juga berfungsi sebagai penyedia kandungan berita dan ehwal semasa terkini bagi para mahasiswa ini.

Dr Lim Beng Soon, Ketua Program BAML UniSIM turut menyokong usaha tersebut.

"Ini kerana pelajar boleh buat perbandingan dengan bahan yang terkandung dalam portal BERITA dengan bahan-bahan yang keluar dalam bahasa Inggeris dari segi gaya, olahan dan kandungan berita itu.

"Dan portal BERITA memberi bahan yang terbaru mengenai berita tempatan, serantau dan antarabangsa. Itu penting kerana ia memberi satu cakupan yang cukup luas dalam bidang berita misalnya," katanya.

Usaha ini merupakan salah satu langkah BERITA mendekati para pelajar termasuk institusi pengajian tinggi untuk memanfaatkan portal BERITAMediacorp.

Pada masa yang sama, para mahasiswa juga boleh memanfaatkan portal BERITAMediacorp untuk berkarya.

Ini menerusi satu ruangan baru di portal BERITAMediacorp yang memberi peluang kepada para mahasiswa menyumbang penulisan mereka tentang pelbagai topik yang menjadi keprihatinan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan