Images
  • yishun gaduh
    Petikan skrin video pergaduhan yang berlaku di Yishun. (Gambar: Facebook/Allan Lim)

Polis siasat pergaduhan antara 2 lelaki tua di kedai kopi Yishun

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat kes pergaduhan yang berlaku di sebuah kedai kopi di Yishun apabila pihaknya dimaklumkan mengenainya pada malam Ahad (11 Mac).

Pergaduhan tersebut berlaku apabila kedua-dua lelaki tua itu bergaduh semata-mata kerana seorang wanita.

Insiden ini berlaku di kedai kopi S-11 yang terletak di Blok 744 Yishun Street 72. Polis menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kes itu sekitar 9.25 malam.

Dalam rakaman video yang tersebar di Facebook, kedua-dua lelaki tersebut, yang berusia dalam lingkungan 60-an tahun, didapati memaki-hamun antara satu sama lain.

Mediacorp difahamkan mereka bergaduh kerana seorang wanita. Salah seorang lelaki tersebut merupakan teman lelaki wanita berkenaan dan seorang lagi adalah bekas teman lelakinya.

Video selama lima minit itu menunjukkan seorang lelaki yang memakai baju merah mencapai botol bir dan kerusi pada satu ketika, mengancam seorang lelaki memakai baju biru yang berambut panjang.

Lelaki berbaju biru itu sebelum itu mencemuh lelaki yang memakai baju merah, yang sedang duduk bersebelahan wanita berkenaan, dan mencabarnya untuk "keluar".

Orang ramai dilihat cuba menenangkan kedua-dua lelaki tersebut. Namun, keadaan menjadi bertambah buruk apabila lelaki yang memakai baju merah menghayun kerusi ke arah lelaki berkenaan dan dia membalas tindakan itu.

Wanita berkenaan turut masuk campur dalam pergaduhan tersebut, dengan memukul lelaki berbaju biru itu dengan penyapu. Dia pula ditendang sehingga terjatuh oleh seorang lagi lelaki yang memakai baju putih.

Lelaki keempat pula mula menumbuk lelaki yang memakai baju putih itu.

Video tersebut dikongsi sebanyak 15,000 kali setakat sehingga semalam (12 Mac). Mediacorp difahamkan tiada pemberkasan dilakukan. 

- CNA/FA/fa

Top