Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis ingatkan orang ramai akan penipuan lewat panggilan telefon

Polis mengingatkan orang ramai supaya jangan terpedaya dengan kes penipuan lewat panggilan telefon dari pihak-pihak yang tidak dikenali. Kes sedemikian dikatakan kian meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis ingatkan orang ramai akan penipuan lewat panggilan telefon

Gambar fail. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 07 Dec 2017 11:50PM Dikemas Kini : 07 Dec 2017 11:53PM

SINGAPURA: Polis mengingatkan orang ramai supaya jangan terpedaya dengan kes penipuan lewat panggilan telefon dari pihak-pihak yang tidak dikenali. Kes sedemikian dikatakan kian meningkat.

Menurut kenyataannya hari ini (7 Dis), polis menerima laporan di mana orang awam menerima panggilan dari pihak yang mengaku sebagai pegawai perkhidmatan kiriman atau pegawai pemerintah.

Dalam satu kes, pemanggil mengaku mempunyai barang kiriman yang mengandungi barang-barang haram milik penerima. Kiriman itu dikatakan ditahan di kastam China. Panggilan itu kemudian diambil alih oleh seorang lagi pemanggil yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai polis.

Dalam kes-kes lain, si penipu mengatakan bahawa penerima panggilan sudah melakukan kesalahan jenayah dan diminta membantu dalam siasatan.

Penipu kemudian akan menyuruh penerima panggilan untuk memberi maklumat peribadi, termasuk butiran bank dan Kata Laluan Sekali Sahaja (OTP), kepada "pegawai awam" untuk menjalankan siasatan.

Sejumlah wang kemudian akan dipindahkan dari akaun bank mereka ke dalam akaun-akaun bank yang tidak diketahui.

Dalam beberapa kes, penerima panggilan diancam dengan hukuman penjara jika mereka tidak bekerjasama.

Dalam kes penipuan lain, penerima panggilan disuruh membuat pemindahan wang menggunakan mesin layan diri Bitcoin, tambah polis.

Penipu akan menghantar kod QR kepada penerima panggilan menyuruhnya mengimbas kod itu di mesin layan diri Bitcoin sebelum memasukkan wang ke dalam mesin.

Ada juga beberapa kes di mana penerima panggilan disuruh mengeluarkan wang dari bank akaunnya untuk menyerahkan kepada "pegawai awam" atas tujuan ingin membuat pengesahan.

Orang ramai dinasihati mengambil langkah-langkah berikut apabila menerima panggilan mencurigakan:

  1. Abaikan panggilan dan arahan pemanggil.
  2. Tiada agensi pemerintah akan meminta butiran peribadi atau pemindahan wang melalui telefon mahupun mesin suara automatik.
  3. Penipu mungkin menggunakan teknologi 'spoofing' untuk menyembunyikan nombor telefon sebenar. Panggilan yang kelihatan seperti dari nombor tempatan mungkin dibuat dari luar negara. Jika anda menerima panggilan yang mencurigakan dari nombor tempatan, gantung panggilan tersebut. Selepas lima minit, buat panggilan kepada nombor itu kembali untuk memeriksa kesahihan permintaan pemanggil itu.
  4. Jangan berikan nama anda, nombor pengenalan, butiran pasport, akaun bank atau butiran kad kredit. Maklumat sedemikian berguna buat penjenayah.
  5. Hubungi rakan yang dipercayai atau bercakap dengan saudara anda sebelum anda bertindak. Anda mungkin dalam keadaan emosi dan dan tidak dapat membuat penilaian dengan baik.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan penipuan lewat panggilan telefon seperti ini boleh menghubungi hotline polis di 1800 255 0000 atau salurkan maklumat secara online.

Orang ramai juga boleh mendapatkan nasihat berkaitan penipuan itu di www.scamalert.sg atau dengan menghubungi 1800-722-6688, menurut polis. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan