Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee umum 'Pakej Generasi Merdeka' bagi rakyat yang lahir tahun 1950-an

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan lebih banyak sokongan untuk memastikan jagaan kesihatan kekal dalam kemampuan.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee umum 'Pakej Generasi Merdeka' bagi rakyat yang lahir tahun 1950-an

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 19 Aug 2018 10:22PM Dikemas Kini : 19 Aug 2018 10:36PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan lebih banyak sokongan untuk memastikan jagaan kesihatan kekal dalam kemampuan.

Setengah juta rakyat Singapura yang dilahirkan dalam tahun-tahun 1950-an akan mendapat lebih banyak bantuan bagi mengurangkan kos perubatan di bawah skim baru dipanggil Pakej Generasi Merdeka.

Berucap di Rapat Umum Hari Kebangsaan, PM Lee berkata butir-butir skim itu akan diumumkan tahun depan, tetapi ia akan merangkumi subsidi pesakit luar, tokokan Medisave, subsidi premium bagi skim insurans MediShield Hayat dan pembayaran bagi jagaan jangka panjang.

Pakej itu seakan pakej Generasi Perintis (PGP), yang dilancarkan pada 2014 untuk membantu rakyat Singapura yang dilahirkan pada 1949 menampung kos perubatan mereka.

Sejauh ini, lebih 450,000 generasi perintis ini sudah dibantu dengan perbelanjaan lebih S$1.3 bilion, kata PM Lee.

PM Lee, yang kini berusia 66 tahun, berkata beliau bangga dapat tergolong dalam kumpulan 'Merdeka' ini.

“Generasi tersebut telah melalui tahun-tahun 50-an dan 60-an yang bergolak," jelas PM Lee sambil merujuk masa-masa bersejarah politik seperti berakhirnya era penjajahan British, pembentukan Pemerintah pada 1959, gabungan dan pemisahan dengan Malaysia, sebelum mencapai kemerdekaan.

“KITA TERHUTANG BUDI KEPADA MEREKA”

Perdana Menteri menyifatkan rakyat Singapura yang lahir dalam tahun-tahun 1950-an sebagai sudah menempuh kehidupan dengan "cabaran-cabaran getir dan pergolakan" serta menyaksikan bagaimana ibu bapa mereka bekerja keras untuk membesarkan mereka.

“Mereka faham secara naluriah apa yang dipertaruhkan. Kaum lelaki generasi itu adalah antara kumpulan awal yang dikerah untuk menjalani Perkhidmatan Negara. Merekalah yang pertama dalam Angkatan Bersenjata Singapura - Tentera Darat, Laut dan Udara," tambah PM Lee.

“Ramai, terutamanya anak-anak perempuan tidak menamatkan pelajaran. Mereka keluar bekerja untuk menyokong keluarga dan adik-beradik yang lebih muda. Ada yang menyertai tenaga kerja di tengah-tengah keadaan ekonomi tidak menentu dan kadar pengangguran yang tinggi, apabila Tentera British berundur dari Singapura. Semuanya mula bekerja pada masa gaji masih rendah."

PM Lee menarik perhatian kebanyakan generasi Merdeka berusia dalam lingkungan 60-an tahun sekarang.

“Mereka sama ada tidak lagi bekerja atau akan bersara tidak lama lagi," kata PM Lee.

“Ramai mempunyai keprihatinan yang sama dengan generasi perintis mengenai jagaan kesihatan. Mereka melihat simpanan CPF dan akaun Medisave mereka, dan bimbang tidak akan mempunyai wang yang mencukupi bagi menampung keperluan perubatan apabila mereka bertambah tua," tambah PM Lee.

“Saya rasa kita terhutang budi kepada mereka." 

Sumber : CNA/MM/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan