Images
  • Trump Kim Shakes hand
    Encik Trump dan Encik Kim berjabat tangan selepas menandatangani dokumen-dokumen pada 12 Jun 2018. (Gambar: REUTERS/Jonathan Ernst)

PM Lee ucap tahniah kepada Trump & Kim; sifatkan perjanjian "satu langkah ke hadapan"

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (12 Jun) menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan juga Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un atas kejayaan sidang puncak bersejarah mereka yang diadakan di Singapura.

PM Lee menyampaikan ucapan tersebut menerusi surat yang diutuskan secara berasingan kepada kedua-dua pemimpin, selepas berakhirnya Sidang Puncak Singapura (Singapore Summit) yang diadakan di Hotel Capella, Sentosa hari ini.

Dalam kedua-dua surat tersebut, PM Lee menyifatkan kenyataan bersama yang ditandatangani Encik Trump dan Encik Kim sebagai satu langkah ke hadapan.

"Ia adalah langkah pertama yang penting ke arah mencapai keamanan dan kemantapan yang berkekalan bagi Semenanjung Korea yang bebas nuklear," tulis PM Lee.

Beliau menambah, Singapura amat berbesar hati dapat menjadi tuan rumah kepada sidang puncak yang penting itu.

Kepada Encik Trump, PM Lee berkata beliau menantikan detik untuk sekali lagi menyambut kedatangan Presiden Amerika Syarikat itu semasa Lawatan Negaranya ke Singapura pada bulan November nanti.

Kepada Encik Kim, PM Lee berharap beliau "seronok sepanjang tempoh berada di Singapura termasuk bersiar-siar di Marina Bay". PM Lee turut berharap untuk bertemu lagi dengan Encik Kim dalam masa terdekat.

Berikut terjemahan bahasa Melayu surat yang dikirimkan PM Lee kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump:

Tahniah atas kejayaan sidang puncak bersejarah antara Amerika Syarikat dengan Republik Demokratik Rakyat Korea. Kenyataan bersama yang anda tandatangani hari ini dengan Pengerusinya Kim Jong Un adalah satu langkah ke hadapan. Ia adalah langkah pertama yang penting ke arah mencapai keamanan dan kemantapan yang berkekalan bagi Semenanjung Korea yang bebas nuklear.

Singapura amat berbesar hati dapat menjadi tuan rumah bagi sidang puncak penting ini. Kami bersama-sama masyarakat dunia meraikan pencapaian ini dan mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua Amerika Syarikat dan DPRK dalam melaksanakan perjanjian tersebut.

Saya akan menantikan detik untuk menyambut kedatangan anda sekali lagi ke Singapura pada bulan November nanti, kali ini bagi Lawatan Negara anda ke negara kami.

Berikut terjemahan bahasa Melayu surat yang dikirimkan PM Lee kepada Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un:

Tahniah atas kejayaan sidang puncak bersejarah antara Republik Demokratik Rakyat Korea dengan Amerika Syarikat.

Kenyataan bersama yang anda tandatangani hari ini dengan Presiden Donald Trump adalah satu langkah besar ke hadapan. Ia adalah langkah pertama yang penting ke arah mencapai keamanan dan kemantapan yang berkekalan bagi Semenanjung Korea yang bebas nuklear.

Singapura amat berbesar hati dapat menjadi tuan rumah bagi sidang puncak penting ini. Kami bersama-sama masyarakat dunia meraikan pencapaian ini dan mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua DPRK dan Amerika Syarikat dalam melaksanakan perjanjian tersebut.

Saya berharap anda seronok sepanjang berada di Singapura, termasuk bersiar-siar di Marina Bay dan saya berharap untuk bertemu lagi dengan anda dalam masa terdekat.

- BERITAMediacorp/nk

Top