Images
  • pm lee (2)
    Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar: SAUL LOEB/AFP)

PM Lee tekankan lagi S'pura ‘mudah terdedah kepada ancaman’ berita palsu dek ketersambungan internet

SINGAPURA: Bahaya kesan berita palsu terhadap keselamatan Singapura yang begitu tersambung dari segi internet, menjadikan negara ini mudah terdedah kepada ancamannya, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Khamis (11 Jan).

Dalam catatannya di laman Facebook, PM Lee menyentuh tentang kepalsuan online disengajakan yang kian menjadi isu genting dalam kalangan masyarakat.

"Berita palsu menjadi bahan percakapan tahun lalu. Tetapi ia sudahpun menjejas mata pencarian dan memecahbelahkan masyarakat jauh lebih awal lagi.

"Perbezaannya sekarang adalah berita palsu boleh disebarkan dalam masa beberapa jam saja, di media sosial atau kiriman teks," tulis PM Lee.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada ucapan AP GRC Nee Soon Dr Lee Bee Wah semasa sidang parlimen pada Rabu (10 Jan).

Dalam ucapan tersebut, Dr Lee berkongsi "kisah menyentuh tentang bahaya berita palsu".

PM Lee turut memetik kisah yang dikongsikan Dr Lee di mana pada tahun 1969, "fitnah mengakibatkan rusuhan kaum di mana beratus-ratus orang maut" di Melaka.

Sehubungan itu, PM Lee juga berkata parlimen sudahpun dengan sebulat suara memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan bagi mengkaji kepalsuan online disengajakan, dan bagaimana untuk mencegah dan memerangi penyebarannya.

Ia turut diumumkan bahawa jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Speaker Parlimen Charles Chong dan terdiri daripada Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam, Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Pendidikan Janil Puthucheary, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee, Anggota Parlimen (AP) Rahayu Mahzam, Seah Kian Peng, Sun Xueling dan Edwin Tong, serta AP Parti Pekerja (WP) Pritam Singh dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Chia Yong Yong.

"Maklum balas awam akan diminta. Sila berikan pandangan anda mengenai masalah ini.

"Setiap individu perlu menjadi sebahagian daripada huraiannya, dengan memeriksa sebarang berita sebelum menekan butang 'Forward'!" menurut PM Lee.

- BERITAMediacorp/IM/im

Top