Images
  • pm lee saman
    Penulis blog, Leong Sze Hian. (Gambar: Leong Sze Hian/Facebook) 

PM Lee saman fitnah penulis blog Leong Sze Hian kongsi rencana di Facebook

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengemukakan saman fitnah ke atas penulis blog, Leong Sze Hian, kerana berkongsi satu rencana yang mendakwa beliau membantu mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam pengubahan wang haram.

Satu persidangan sebelum perbicaraan bagi kes itu dijadual diadakan pada 7 Januari.

Rencana yang dimaksudkan bertajuk "Breaking News: Singapore Lee Hsien Loong Becomes 1MDB's Key Investigation Target - Najib Signed Several Unfair Agreements with Hsien Loong In Exchange for Money Laundering" atau "Berita Terkini: Lee Hsien Loong Jadi Sasaran Utama Siasatan 1MDB - Najib Meterai Beberapa Perjanjian Tidak Adil Dengan Hsien Loong Sebagai Ganti Pengubahan Wang Haram".

Ia diterbitkan di laman Malaysia, The Coverage, pada 7 November.

Rencana itu pada asalnya diterbitkan oleh States Times Review dua hari sebelumnya. Namun versi rencana oleh The Coverage dikongsikan Encik Leong, 65 tahun, di laman Facebooknya pada 7 November tanpa sebarang kapsyen.

Surat daripada peguam PM Lee, Drew and Napier, kepada Encik Leong dengan tarikh 12 November menyatakan bahawa catatan dan rencana Encik Leong "mengandungi dakwaan yang berunsur fitnah terhadap klien kami."

Menurut pernyataan tuntutan itu, catatan yang dikongsi oleh Encik Leong mengandungi gambar yang menunjukkan PM Lee bersama Encik Najib. Encik Najib sebelum ini didakwa atas kesalahan-kesalahan jenayah, termasuk pengubahan wang haram berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkataan-perkataan yang menyinggung perasaan dalam rencana itu memberi gambaran seolah-olah PM Lee "menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk membantu Encik Najib mengubah (secara haram) berbilion-bilion dolar wang 1MDB," menurut dokumen itu.

Juga fitnah adalah dakwaan bahawa PM Lee "bersubahat dalam kegiatan jenayah berhubung 1MDB", menurut para peguamnya.

Dakwaan-dakwaan tersebut adalah "palsu dan tidak berasas sama sekali, dan bertujuan mengecil-ngecilkan serta mempersoalkan plaintif sebagai perdana menteri," menurut mereka dalam pernyataan tuntutan tersebut.

Para peguam menarik perhatian bahawa catatan Encik Leong dapat diakses oleh orang awam, termasuk 5,000 teman dan 149 pengikutnya. Sehingga petang 8 November, ia sudahpun dikongsi 18 kali.

Mereka meminta Encik Leong untuk mengeluarkan kenyataan bagi meminta maaf dalam tempoh tiga hari bermula dari tarikh surat tersebut, dan untuk memberi surat bertulisan bagi ganti rugi serta kos, antara tuntutan lain.

Pada Rabu (5 Dis), Encik Leong menyentuh mengenai tuntutan mahkamah itu menerusi satu catatan terbuka di Facebook dengan menyatakan bahawa beliau sudah mematuhi notis Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 10 November untuk menurunkan catatan itu dalam masa enam jam.

Encik Leong, yang sering membuat tulisan blog mengenai pelbagai topik termasuk CPF, jagaan kesihatan dan pendidikan, mendakwa bahawa beliau tidak menambah sebarang komen atau membumbui rencana itu. Encik Leong sebaliknya berkata beliau "hanya mengongsinya".

Beliau turut memuatnaikkan gambar-gambar tuntutan saman dan dokumen-dokumen mahkamah lain, yang menurut beliau, dihantar ke pagar pintu rumahnya pada Selasa (4 Dis).

Memberi respons kepada pertanyaan media, Setiausaha Akhbar PM Lee mengesahkan bahawa perdana menteri sudahpun memulakan prosiding guaman terhadap Encik Leong kerana memfitnah.

"Isu itu kini terletak di tangan para peguam PM Lee," katanya. Beliau menambah bahawa PM Lee "berhak untuk mengambil tindakan-tindakan guaman terhadap pihak-pihak lain yang melakukan perbuatan fitnah terhadapnya".

Encik Leong tidak memberi respons kepada permintaan Mediacorp untuk memberi komen berhubung perkara ini.

TINDAKAN PEMERINTAH TERHADAP RENCANA

Langkah itu adalah yang terbaru dalam satu siri tindakan yang diambil berhubung rencana tersebut. Pada 8 November, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan ia sudah membuat laporan polis terhadap penulis rencana States Times Review.

Pengasas States Times Review, Alex Tan, enggan menurunkan rencana itu dan akses ke laman tersebut kemudian disekat. Ini setelah IMDA mengarahkan para penyedia khidmat Internet untuk menyekat akses ke laman tersebut.

Encik Tan berkata beliau merancang untuk menutup laman itu dan meneruskan kehidupannya di Australia. IMDA meminta Facebook supaya menurunkan rencana tersebut. Facebook bagaimanapun menolak permintaan tersebut.

Laman Facebook States Times Review masih lagi aktif, meskipun ia sudah diubah kepada 'Singapore Herald' selepas Encik Tan mendakwa beliau dihubungi oleh seseorang dari Kanada yang ingin mengambil alih laman Facebook itu.

PM Lee pada 2014 memfailkan saman terhadap penulis blog, Roy Ngerng, kerana memfitnah.

Ngerng diarah membayar ganti rungi S$150,000 kepada Perdana Menteri, yang menurut peguamnya akan dibayar secara ansuran, bermula dari S$100 setiap bulan sehingga April 2012. Selepas itu, Ngerng akan membayar S$1,000 sebulan sehinggalah beliau selesai membayar ganti rugi tersebut. 

- CNA/AI/ai

Top