Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee: Dasar perlindungan 'berbahaya', negara-negara Komanwel harus galak dagangan sesama mereka

Dasar melindungi syarikat dalam negeri akan menjejas sistem perdagangan dan pelaburan berbilang hala, sehingga boleh mencetuskan persaingan kurang baik antara negara-negara kuasa besar yang boleh menggugat kestabilan dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Apr 2018 09:48AM Dikemas Kini : 20 Apr 2018 10:38PM

LONDON: Dasar melindungi syarikat dalam negeri akan menjejas sistem perdagangan dan pelaburan berbilang hala, sehingga boleh mencetuskan persaingan kurang baik antara negara-negara kuasa besar yang boleh menggugat kestabilan dunia.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Mesyuarat Ketua-ketua Pemerintah Komanwel (CHOGM) semalam (19 Apr).

Oleh itu, penting bagi negara yang mempunyai pemikiran yang serupa, seperti anggota Komanwel, untuk bekerjasama dan menggalak perdagangan dan pelaburan, kata beliau.

PM Lee berucap kepada para pemimpin dari 53 negara Komanwel dalam satu sesi eksekutif yang memberi tumpuan kepada dagangan bebas, pada hari kedua CHOGM di London.

Perbincangan bagi menggalak dagangan bebas tepat pada masanya, kata PM Lee, terutama sekali dengan perubahan sejagat ke arah amalan perlindungan. Antaranya termasuk kemungkinan perang balas perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China.

PM Lee juga menekankan semalam (19 Apr) bahawa kepentingan negara dan keprihatinan terhadap isu-isu keselamatan tidak harus dijadikan alasan untuk menyekat perdagangan antarabangsa - keseimbangan perlu dicapai, katanya.

Menyekat pelaburan akan mencetuskan kecurigaan dan persaingan, yang mengundang tindak balas serupa.

Pendekatan berbilang hala, pada sisi yang lain, "ideal", kata PM Lee kerana ia menetapkan peraturan perdagangan yang universal, mengimbangi manfaat dan keprihatinan negara-negara yang mengambil bahagian, serta memberi skop lebih luas dalam huraian yang sama-sama menguntungkan.

Namun, beliau akui tentang cabaran bagi mencapai persetujuan dalam perjanjian berbilang pihak.

Bagi anggota-anggota Komanwel, PM berkata mereka boleh terus memanfaatkan "faedah Komanwel". Negara-negara seperti ini mempunyai sistem kawal atur, bahasa operasi dan sekitaran perniagaan yang serupa.

Mereka juga berkongsi kepentingan bersama dalam menegakkan sistem dagangan berbilang hala, dan pandangan serupa bahawa ekonomi yang saling bergantungan lebih baik daripada dunia yang dibelenggu dalam perang dagang, tambah beliau.

PEMERINTAH TIDAK BOLEH TANGANI MASALAH PERUBAHAN IKLIM SENDIRI

Dalam pada itu, PM Lee berkata bahawa Singapura kekal komited untuk membantu negara-negara Komanwel yang lain untuk mencapai matlamat Pembanguan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di samping berusaha mencapai matlamatnya sendiri.

PM Lee juga menekankan sekali lagi komitmen Singapura untuk menangani perubahan iklim. Ini termasuk mengurangkan pengeluaran gas karbon negara menjelang 2030, dan memperuntukkan tahun 2018 sebagai Tahun Tindakan Iklim, di samping menguatkuasakan cukai karbon bermula tahun depan.

Namun pemerintah tidak boleh menangani perubahan iklim secara sendiri, kata PM Lee. Untuk itu, Singapura bekerjasama dengan negara-negara lain, seperti menggalak sains dan inovasi dengan negara-negara Komanwel untuk mencari kejayaan teknologi dan huraian kreatif. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan