Images
  • sheikh hasina
    Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina (kiri) dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong. 

PM Bangladesh, Sheikh Hasina bertemu PM Lee di Istana

SINGAPURA: Tagore Avenue di Yio Chu Kang Road dinamakan sempena memperingati Rabindranath Tagore - penyair Sastera Nobel Asia yang pertama. Beliau juga menggubah lagu kebangsaan Bangladesh.

Hasil karyanya terus menyatukan rakyat Singapura dengan Bangladesh melalui penghargaan terhadap warisan budaya yang dikongsi.

Hubungan antara kedua-dua negara itu akan dikukuhkan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina di Singapura, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong sedang beliau menjadi hos jamuan tengah hari di Istana hari ini (12 Mac). Ini merupakan lawatan rasmi pertama PM Hasina ke Singapura.

Kedua-dua pemimpin itu turut menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) yang bermatlamat untuk membantu sektor perniagaan dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Ini termasuk Perjanjian Khidmat Udara Singapura-Bangladesh, yang dimeterai antara Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Lembaga Penguasa Penerbangan Awam Bangladesh. Ia membolehkan khidmat penumpang dan kargo antara dua negara itu diperluas.

Satu lagi MoU yang ditandatangani adalah kerjasama antara pertubuhan awam dan swasta. Ia dimeterai oleh IE Singapore dan Penguasa Perkongsian Awam dan Swasta Bangladesh. Ia disasarkan kepada syarikat-syarikat Singapura, termasuk syarikat kecil dan sederhana (SME), supaya mereka dapat menembusi pasaran yang kian tumbuh dengan pesat itu.

Encik Lee berkata: "Singapura merupakan negara maritim yang terletak antara Lautan Hindi dengan Lautan Pasifik. Oleh itu, kita seharusnya melakukan lebih banyak kerjasama. Syarikat Singapura berminat untuk menembusi pasaran Bangladesh yang bertumbuh pesat. MoU kerjasama awam dan swasta akan memudahkan lagi syarikat tempatan di Bangladesh untuk melakukan pelaburan, khususnya dalam sektor tenaga, ketersambungan dan prasarana.

"Sembcorp merupakan salah satu pelabur terbesar dalam sektor tenaga. Lebih AS$1.1 bilion (S$1.45 bilion) dilaburkan dalam loji-loji kuasa, sementara PSA pula berminat untuk meneroka peluang-peluang yang ada di pelabuhan Chittagong."

Dalam ucapannya, PM Hasina menyentuh tentang hubungan rapat antara Bangladesh dengan Singapura sejak penubuhan hubungan diplomatik pada Februari 1972 dan berkata beliau gembira kerana syarikat Singapura menunjukkan minat dalam (pasaran) Bangladesh hari ini.

"Bangladesh dan Singapura mempunyai tahap pembangunan yang berbeza. Bagaimanapun, kami boleh saling mendampingi satu sama lain untuk mencapai kemajuan ekonomi," katanya.

"Di Singapura, anda mempunyai modal, teknologi canggih dan pengetahuan (untuk melakukan sesuatu). Sementara di Bagladesh, kami mempunyai tenaga kerja yang besar. Sebahagian besar penduduk kami masih muda dan berpelajaran. Kita boleh memanfaatkan sumber-sumber yang kita ada untuk saling menguntungkan."

Beliau menambah, Singapura kekal sebagai destinasi pilihan para pekerja Bangladesh dan beliau berharap Singapura akan terus memberi mereka persekitaran pekerjaan yang membangun.

Cik Hasina dijangka menghadiri Forum perniagaan Bangladesh-Singapura dan persidangan meja bundar esok (13 Mac). Beliau akan berada di Singapura hingga hari Rabu (14 Mac).  

- CNA/AQ/aq

Top