Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pilihan kos rendah HSR KL-S'pura boleh dilaksana tapi berpandangan jangka pendek, menurut pakar

Pembangunan semula KTM sebagai satu alternatif kos lebih rendah bagi projek kereta api Laju KL-S'pura masih memerlukan masa dan waktu yang panjang untuk ia berhasil, dan mungkin merugikan pada jangka masa panjang, menurut para pakar.

Anggaran Waktu Membaca:
Pilihan kos rendah HSR KL-S'pura boleh dilaksana tapi berpandangan jangka pendek, menurut pakar

Gambaran pelukis bagi terminal Kereta Api Laju di Jurong East. (Gambar: Khaw Boon Wan / Facebook)

Diterbitkan : 19 Jun 2018 06:38PM Dikemas Kini : 19 Jun 2018 06:46PM

SINGAPURA: Pembangunan semula prasarana Keretapi Tanah Melayu (KTM) sebagai satu alternatif kos lebih rendah bagi projek kereta api Laju Kuala Lumpur-Singapura masih memerlukan masa dan waktu yang panjang untuk ia berhasil.

Malah, langkah itu mungkin merugikan pada jangka masa panjang dan menyebabkan kedua-dua negara ketinggalan di belakang negara jiran lain yang membuka rangkaian kereta api laju serantau.

Demikian pendapat para pakar yang ditemui pihak Medicorp, menyusuli laporan agensi berita The Star pada Isnin (18 Jun) bahawa saranan menaiktaraf KTM diusulkan kepada CEP Malaysia - badan penasihat yang dibentuk perdana menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

ALTERNATIF KOS RENDAH, TAPI PERLAHAN BERBANDING HSR

Perancangan alternatif yang diusulkan akan menelan belanja 70 peratus lebih rendah berbanding projek HSR, dan tidak memerlukan kerajaan Malaysia membayar pampasan RM500 juta (S$170 juta) kepada pemerintah Singapura.

Usulan terbaru itu, yang bernilai sekitar RM20 billion berbanding harga RM60 atau RM70 billion projek HSR, melibatkan penambahan landasan tunggal bersebelahan dua landasan KTM yang sedia ada.

Gambar hiasan kereta api KTM Berhad. (Gambar: KTM Berhad/Facebook)

Landasan baru ini akan membolehkan kereta api bergerak lebih laju berbanding kereta api KTM sedia ada, iaitu sehingga 200km/sejam. Ini walau bagaimanapun tetap lebih perlahan daripada kelajuan kereta api laju, iaitu 320km/sejam.

Ini juga bermakna perjalanan antara KL-Singapura akan mengambil masa sekitar dua jam, berbanding 90 minit jika saranan HSR dilaksanakan.

PROSES TIDAK MUDAH, PERLU KERJA MENYELURUH

Memberi respon kepada laporan berkenaan, para pakar berkata saranan baru ini bukan proses yang mudah, dan banyak kerja perlu dilakukan.

Encik Phillip Peachey, pengarah kejuruteraan di syarikat penyedia huraian landasan Asia Rail Engineering, berkata: “Saya percaya selekoh landasan perlu diluruskan agar kereta api dapat bergerak lebih laju."

Jelas Encik Peachey lagi, ini memerlukan landasan tambahan untuk memastikan perjalanan yang lancar.

Beliau menganggarkan, proses ini memakan masa lima tahun. Projek HSR KL-Singapura dijadual mula beroperasi pada hujung 2026.

Namun, Encik Peachey akur perjalanan 130-minit menerusi rangkaian KTM yang dipertingkat itu ada manfaatnya bagi para peniaga, jika kereta api dilengkapi dengan kemudahan seperti meja agar mereka dapat melakukan kerja semasa perjalanan.

'BUKAN SEMUDAH NAIK TARAF LANDASAN SAHAJA'

Perhentian Singapura bagi sistem KTM sedia ada terletak di Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands.

Gambar fail Pusat Pemeriksaan Woodlands. 

Pakar ekonomi pengangkutan dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) Dr Walter Theseira menarik perhatian bahawa lokasi ini tidak terhubung kepada sistem pengangkutan awam Singapura.

Singapura perlu menilai lokasi yang lebih terhubung dengan pusat negara dan pengangkutan awam jika ia ingin menimbangkan usulan terbaru itu.

"Jika tidak, anda akan tiba di sini dengan pantas... tapi masih perlu masa yang lama untuk ke kawasan lain di Singapura," kata Dr Theseira.

"Ia bukan semudah naik taraf landasan. Ia memerlukan rekaan dan pemikiran semula tentang bagaimana menghubung sistem KTM kepada pusat bandar."

Namun katanya khidmat kereta api ini mungkin lebih baik berbanding penerbangan satu jam ke Kuala Lumpur. Ini kerana perhentian kereta api terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur, berbanding Lapangan Terbang Kuala Lumpur yang jauh daripada bandar.

BOLEH KETINGGALAN DALAM MASA 2, 3 DEKAD

Pada jangka masa panjang, Dr Theseira menjangkakan banyak negara ASEAN boleh meraih manfaat daripada sistem kereta api laju serantau, dalam masa dua atau tiga dekad.

Bila ini berlaku, Singapura dan Malaysia akan ketinggalan di belakang jika tidak mempunyai rangkaian setanding.

"Dengan membina satu sistem yang tidak boleh beroperasi seiring sistem kereta api laju, mungkin dalam masa 20 tahun lagi kita terpaksa membuat pelaburan sekali lagi untnuk membina landasan kereta api laju," kata beliau.

Awal bulan ini, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata, negara ini meminta kerajaan Malaysia menerusi saluran diplomatik untuk menjelaskan kedudukannya tentang projek kereta api laju.

Mediacorp difahamkan, pihak berkuasa Singapura masih menantikan pengesahan rasmi tentang hal tersebut. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan