Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Piawaian keselamatan baru 'langkah perlu' kurangkan risiko kebakaran PMD: LTA

Piawaian keselamatan baru UL2272 adalah "suatu langkah perlu" untuk mengurangkan risiko berlakunya kebakaran berkaitan dengan alat pergerakan peribadi (PMD), menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Khamis.

Anggaran Waktu Membaca:
Piawaian keselamatan baru 'langkah perlu' kurangkan risiko kebakaran PMD: LTA

Gambar fail alat PMD (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Sep 2018 11:36PM Dikemas Kini : 13 Sep 2018 11:39PM

SINGAPURA: Piawaian keselamatan baru UL2272 adalah "suatu langkah perlu" untuk mengurangkan risiko berlakunya kebakaran berkaitan dengan alat pergerakan peribadi (PMD), menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Khamis.

Pihak berkuasa itu bagaimanapun akur langkah tersebut akan menjejas para penjual dalam jangka masa singkat.

Pada Isnin (10 Sep) Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min berkata di Parlimen bahawa semua PMD bermotor harus mematuhi piawaian keselamatan kebakaran UL2272 menjelang 2021 demi memastikan keselamatan awam.

Peraturan ini dikritik para penjual dan pengguna kerana ia akan menyebabkan sebilangan besar e-skuter di Singapura dilarang digunakan dalam jangka masa kurang tiga tahun.

Pada Khamis LTA mempertahankan langkah tersebut, sambil menegaskan perlunya menangani kebimbangan berhubung kebakaran dan "menjaga keselamatan masyarakat umum" agar PMD bermotor kekal menjadi cara pengangkutan yang mampan di Singapura.

LTA menarik perhatian bahawa sejak 2016, terdapat lebih 80 kes kebakaran berkaitan PMD.

"Untuk mengatasi kebimbangan kebakaran ini, LTA telah meneliti pelbagai piawaian keselamatan yang sedia ada dan menetapkan bahawa UL2272 adalah sesuai untuk Singapura," menurut LTA sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp.

Piawaian UL2272 diasaskan di Amerika Syarikat dan alat-alat perlu menjalani siri ujian elektrik, mekanikal dan persekitaran sebelum mendapat pengesahan.

Menurut LTA pihaknya juga sudah mengkaji piawaian lain namun mendapatinya tidak merangkumi kebanyakan PMD bermotor yang digunakan di Singapura.

Pihak berkuasa itu juga sedang mengkaji piawaian lain dan "terbuka untuk menimbangkan piawaian lain yang wajar untuk mengurangkan risiko kebakaran bagi alat PMD bermotor dan sesuai dalam konteks tempatan".

LTA menyatakan pihaknya menemui wakil dari 22 penjual pada Khamis untuk berkongsi tentang perlaksanaan piawaian UL2272.

"Maklum balas yang mereka berikan diambil kira dalam semakan itu."

Menurut LTA, pengharaman ke atas jualan PMD yang tidak memenuhi piawaian UL2272 pada Julai 2019 memberi para penjual masa sembilan bulan untuk menukar inventori mereka dan mematuhi keperluan baru itu.

"LTA merancang untuk melarang penggunaan alat tanpa pensijilan UL2272 di tempat awam bermula Januari 2021. Ini memberikan masa dua tahun bagi pemilik alat sekarang untuk beralih kepada alat PMD yang disahkan UL2272," tambah LTA.

"Ini mengambil kira jangka hayat purata alat PMD, iaitu sekitar dua hingga tiga tahun."

LTA memberi jaminan kepada para penjual bahawa ia akan memberi "sokongan penuh" dalam tempoh peralihan ini.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan