Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta SkillsFuture 2018 di Wisma Geylang Serai tampilkan pelbagai kegiatan pembelajaran, pameran kursus

Warga emas lazimnya menghadapi cabaran dalam membiasakan diri dengan perkembangan teknologi yang pesat berubah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Jul 2018 08:41PM Dikemas Kini : 19 Jul 2018 09:35PM

SINGAPURA: Sepanjang bulan ini hingga 4 Ogos, SkillsFuture Singapore (SSG) buat julung-julung kalinya menganjurkan Pesta SkillsFuture 2018 bagi anda mengikuti pelbagai kegiatan pembelajaran.

Sempena pesta itu, satu pameran kursus dan kegiatan diadakan di Wisma Geylang Serai, Sabtu ini (21 Jul), bertemakan Raikan Ilmu.

Acara itu dianjurkan Majlis Pembangunan Masyarakat Tenggara (SE CDC) dan disokong 15 agensi dan pertubuhan termasuk MENDAKI SENSE dan BERITAMediacorp.

Warga emas lazimnya menghadapi cabaran dalam membiasakan diri dengan perkembangan teknologi yang pesat berubah.

Namun tidak begitu bagi Encik Khamin Snu, 71 tahun.

Sejak menjalani kursus komputer menerusi SkillsFuture, pesara dari Kementerian Dalam Negeri (MHA) ini sudah ‘reti’ betul untuk menggunakan aplikasi WhatsApp dan menghantar emel.

Meskipun tidak lagi memerlukan kemahiran itu selepas bersara, Encik Khamin tetap gigih menimba ilmu baru kerana ia cukup bermanfaat dalam interaksi sosial seharian selaku pengerusi Persatuan Sang Nila Utama.

"Jadi, saya boleh berhubung dengan mereka melalui WhatsApp dan memberi arahan dan sebagainya melalui telefon yang maju. Jadi mungkin, kalau diizinkan untuk saya mengikuti kursus ulangan balik, saya akan belajar terus untuk gunakan komputer tersebut pasal saya rasa di masa hadapan, komputer adalah satu wadah di mana kita dapat mempermajukan persatuan dan berhubung dengan masyarakat," kata Encik Khamin.

Atas sebab yang sama, Cik Juriah Yatim, pegawai operasi di syarikat Singapore Airlines (SIA) melaburkan kredit Skillsfuture beliau bagi kursus-kursus animasi dan penyuntingan gambar.

"Kebetulan waktu di tempat kerja itu, saya ada disuruh menjalankan satu projek dan saya mengetuainya. Dalam projek itu, saya menggunakan apa yang saya sudah pelajari. Jadi ketua saya amat bangga dengan saya dengan umur saya sekian umur, saya masih bergiat untuk mengadakan bakat sedemikian," kata Cik Juriah.

Ternyata, faedah penyertaan program pembelajaran itu tiada penghujungnya.

Sehingga akhir tahun lalu, lebih 285,000 rakyat Singapura sudah mengunakan kredit Skillsfuture mereka sebanyak $500 untuk mempertingkat atau meraih kemahiran baru.

Sabtu ini (21 Jul), anda juga boleh melakukan serupa dengan mengikuti pesta Raikan Ilmu di Wisma Geylang Serai.

Demi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, pelbagai program pembelajaran diadakan termasuk bengkel-bengkel kemahiran serta program-program kendalian MENDAKI SENSE.

Ada juga perkongsian tentang skim-skim dan dasar-dasar pemerintah oleh 15 agensi serta pertubuhan.

Pihak penganjur berharap dapat menarik sekitar 3,000 pengunjung.

Pesta Raikan Ilmu di WGS akan berlangsung hingga 4.00 petang.  

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan