Images
  • pestaraya fb
    Salah satu persembahan di acara Pesta Raya 2018. (Gambar: FACEBOOK/Pesta Raya)

Pesta Raya akan dikekalkan sebagai wadah semarakkan seni Melayu

SINGAPURA: Acara seni Melayu Pesta Raya menutup tirai bulan Syawal tahun ini, dengan persembahan penuh gah.

Kini memasuki tahun ke-17, Esplanade mendedahkan pihaknya akan terus mengekalkan acara itu sebagai salah satu wadah untuk terus menyemarakkan seni Melayu di sini.

Antara kelainan yang ditampilkan dalam Pesta Raya 2018 adalah dua karya selenggaraan pihak penganjur dan beberapa persembahan yang melibatkan penyertaan penonton.

KARYA 'CIPTAAN' PENONTON DITAMPILKAN

Para penonon berpeluang untuk ikut sama mencipta karya sendiri dalam persembahan-persembahan tarian, teater dan muzik Melayu yang tradisional mahupun kontemporari.

Ini selaras dengan visi pihak penganjur untuk memperkayakan pengalaman para pengunjung dengan menjadikan pesta seni itu sebagai sebuah acara bersifat interaksi dua hala.

"Bila datang di Esplanade Teater di Pesisiran ini, bukan sahaja kena duduk menonton tetapi juga dapat bergerak bersama artis-artis kami (untuk) mereka sebuah pengalaman yang unik," kongsi Ketua Pengaturcara Pesta Raya 2018 Fezhah Maznan.

Acara tahun ini juga buat pertama kalinya menampilkan dua karya yang diselenggarakan Esplanade.

Kelainan sebegini disambut baik penggiat teater mapan Aidli Mosbit yang sudah melihat perkembangan Pesta Raya sejak tahun-tahun awalnya.

Masih segar di ingatan beliau bagaimana ada sesetengah pihak pada satu masa dahulu menyuarakan betapa sukarnya melihat persembahan seni Melayu di Esplanade.

"Jadi pada mulanya pada tahun 2002 begitu, waktu saya mula berkecimpung dalam Pesta Raya ini, waktu itu memanglah ada suara-suara mengatakan bahawa Esplanade itu memang sukar untuk persembahan Melayu diadakan," ujar beliau yang merupakan pengarah persembahan teater 'Alkesah' di pesta raya tahun ini.

"Jadi kami pada waktu itu amat mengalu-alukan adanya Pesta Raya, itu bermakna khusus persembahan-persembahan Melayu akan diadakan."

Beliau juga berbesar hati dapat melihat seni Melayu yang ditampilkan saban tahun berjaya memikat lebih ramai penonton daripada kaum dan negara lain.

Acara empat hari Pesta Raya berakhir Ahad (15 Jul) ini.

- BERITAMediacorp/tq

Top