Images
  • sia
    William Chua (kanan) bersama keluarganya, yang merupakan antara penumpang pesawat penerbangan SQ22. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Pesawat SIA berlepas dari S'pura ke New York; penerbangan paling panjang di dunia

SINGAPURA: Penerbangan komersil paling panjang di dunia berlepas dari Singapura pada Khamis (11 Okt), dengan para penumpang berasa ghairah dan ragu-ragu untuk memulakan perjalanan udara selama 19 jam ke New York.

Jurucakap syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) memberitahu agensi berita AFP bahawa pesawat SQ22 berlepas dari Singapura pada sekitar 11.35 malam, membawa seramai 150 penumpang dan 17 anak kapal.

Dua juruterbang, menu "kesejahteraan" khas serta pelbagai pilihan rancangan televisyen dan filem menemani para penumpang semasa penerbangan sejauh 16,700 kilometer ke New York.

Penerbangan jarak jauh pesawat Airbus A350-900ULR itu berupaya membawa sehingga 161 penumpang - 67 penumpang dalam kelas bisnes dan 94 dalam kelas ekonomi premium.


Gambar pesawat Airbus A350-900ULR. (Gambar: Singapore Airlines/AFP)

TIKET PULANG KE S'PURA 

Sesetengah penumpang yang merupakan para penggemar penerbangan seperti Danny Ong, 50 tahun, seorang jurutera rakyat Singapura, turut membeli tiket penerbangan pulang ke Singapura.

Pier Messaggio, 41 tahun, seorang pereka elektronik warga Itali yang berpangkalan di Singapura, berkata beliau adalah sebahagian daripada kumpulan "First to Fly", di mana para anggotanya sudahpun menaiki kesemua penerbangan pertama Singapore Airlines.


Gambar Pier Messaggio, seorang warga Itali dan penumpang pesawat penerbangan SQ22. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Menurut syarikat Airbus, kabin pesawat A350-900ULR itu mempunyai siling yang lebih tinggi daripada biasa, serta tingkap yang lebih lebar dan ia juga dilengkapi dengan lampu yang direka khas bagi mengurangkan gangguan ritma harian - iaitu sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan tekanan berada di dalam pesawat selama hampir sehari.

"Keprihatinan utama adalah trombosis vena dalam yang berlaku akibat duduk terlalu lama dan juga masalah hidrasi," kata Gail Cross, seorang konsultan bersekutu di Hospital Universiti Nasional (NUH).

Penerbangan dari Singapura ke New York itu mengatasi perjalanan paling panjang yang ada sekarang, iaitu dari Auckland ke Doha menerusi penerbangan Qatar Airways 921, yang mengambil masa selama 17 jam dan 40 minit.

Penerbangan dari Singapura ke Lapangan Terbang Newark mengambil masa sehingga 18 jam dan 45 minit berdasarkan keadaan cuaca biasa. 

- AFP/AI/ai

Top