Images
  • gravel hammer judge
    Gambar fail. (Gambar: AFP)

Pesalah bentan dijel kerana lakukan hubungan seks dengan budak 14 tahun

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 28 tahun hari ini (28 Sep) dijatuhi hukuman penjara 16 bulan kerana merogol mangsa bawah umur pada 2014. Sebelum ini, dia pernah melakukan kesalahan serupa.

Pesalah bertemu mangsa di sebuah chalet pada 2014. Ketika itu, dia berumur 24 tahun manakala mangsa berusia 10 tahun lebih muda daripadanya. Nama lelaki dan mangsa dalam kes tidak didedahkan atas perintah mahkamah.

Kedua-dua tidak berbual pada malam mereka bertemu, tetapi pada November tahun itu, semasa kumpulan rakan mereka bertemu, pesalah menjemput mereka ke rumahnya. Keluarga lelaki tersebut berada di luar negara pada ketika itu, menurut dokumen mahkamah.

Di rumahnya, rakan-rakan, serta mangsa, meminum minuman keras. Apabila mangsa ingin ke tandas, pesalah menyuruhnya untuk menggunakan bilik air di bilik ibu bapanya. Dia kemudian mengikutnya ke bilik dan mengunci pintu.

Ketika mangsa keluar daripada tandas, lelaki itu menyuruhnya duduk di atas katil lalu duduk bersebelahannya. Dia kemudian memeluk mangsa, menolaknya dengan perlahan ke atas katil dan baring di sebelahnya. Dia seterusnya mencium pipi mangsa.

"Mangsa terkejut ketika dicium," kata Timbalan Pendakwa Raya Marshall Lim.

Lelaki berkenaan menyuruh mangsa menjadi teman wanitanya namun mangsa berasa tidak pasti, menurut dokumen mahkamah. Meskipun begitu, pesalah menciumnya di bibir dan merogolnya.

Insiden itu terbongkar dua tahun kemudian ketika mangsa berkunjung ke poliklinik kerana terkena jangkitan saluran kencing. Apabila beliau diperiksa, beliau memberitahu doktor yang merawatnya bahawa beliau pernah melakukan hubungan seks. Aduan polis dibuat kerana mangsa berusia bawah 16 tahun ketika itu.

PERNAH LAKUKAN KESALAHAN SAMA

Pada Jumaat (14 Sep), Timbalan Pendakwa Raya Amanda Han mengatakan pesalah sebelum ini pernah melakukan hubungan seks dengan remaja lain berusia bawah 16 tahun. Pada 2009, dia melakukan hubungan seks dengan teman wanitanya yang berusia 12 tahun ketika itu. Atas kesalahan itu, dia menjalani probesyen.

Pada 2016, dia sekali lagi mengulangi kesilapannya, tetapi kali ini dengan remaja berusia 14 tahun. Dia bertemu dengan remaja berkenaan selama sebulan, dan memujuknya untuk mengadakan hubungan seks dengannya sehingga beliau bersetuju. Dia dipenjara 16 bulan atas dakwaan itu.

Dalam kes ini, lelaki ini memanfaatkan keadaan, menjebak mangsa, kata Cik Han. Dia tidak mendedahkan nama sebenarnya mahupun tentang dirinya kepada mangsa. Dia sekadar memperkenalkan dirinya sebagai "Zayden", kata Cik Han sambil menambah bahawa jelas dia "sengaja mengambil kesempatan" daripada situasi itu.

"Jelas mangsa berasa tidak berdaya di tangan tertuduh," kata Cik Han.

Menurut laporan pemeriksaan, mangsa sering murung, sukar tidur dan sering memikirkan tentang insiden itu.

"Di samping itu, beliau kini sukar percaya orang lain," menurut dokumen mahkamah.

Atas kesalahan melakukan serangan seksual ke atas remaja bawah 16 tahun, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda, atau kedua-duanya.  

- CNA/AQ/aq

Top